China guna haiwan ramal gempa bumi

China guna haiwan ramal gempa bumi

BEIJING, 6 Julai (AFP) – Penyelidik kerajaan China telah menggunakan ayam, ikan dan kodok untuk meramalkan gempa bumi, lapor media.

Biro seismologi di timur bandar Nanjing telah mengubah tujuh ladang haiwan kepada stesen seismik, lapor akhbar China Daily pada minggu lalu.

Penternak di ladang diminta mengemas kini biro mengenai tingkah laku haiwan dua kali sehari, kata laporan.

Tingkah laku luar biasa yang boleh menandakan gempa bumi akan berlaku tidak lama lagi termasuk ayam terbang di atas pokok, ikan melompat keluar dari air atau kodok bergerak dalam kumpulan, tambahnya.

Nanjing merancang merekrut tujuh ladang lagi dalam skim pada tahun ini, katanya. Kemudahan perlu disediakan untuk menempatkan lebih daripada tiga spesies.

Namun beberapa penjaga haiwan nampaknya keberatan untuk membabitkan diri.

“Zoo kami tidak akan diubah menjadi stesen pengawasan disebabkan haiwan akan menunjukkan tingkah laku luar biasa apabila mereka diganggu oleh pelawat,” laporan memetik penjaga zoo tempatan sebagai berkata.

Menggunakan haiwan untuk meramalkan gempa bumi bukan sesuatu yang baru di China. Media kerajaan berkata pada tahun lalu bandar Nanchang sedang menggunakan anjing untuk meramalkan gegaran.

China sering dilanda kejadian seismik, dengan beratus ribu terbunuh dalam bencana besar sebelum ini. Tiga orang terbunuh dalam gempa bumi teruk baru-baru ini pada minggu lalu, di rantau barat Xinjiang.

ARTIKEL YANG SAMA