China hukum guru rogol anak murid

China hukum guru rogol anak murid

BEIJING, 29 Mei (AFP) – China telah melaksanakan hukuman mati ke atas bekas guru kerana merogol dan menganiaya secara seksual 28 orang kanak-kanak di sekolahnya, lapor media kerajaan.

Li Jishun disabitkan dengan kesalahan merogol atau menganiaya secara seksual 26 orang budak perempuan berusia 4 hingga 11 tahun, lapor agensi berita rasmi Xinhua.

Penganiayaan itu berlaku dalam tahun 2011 dan 2012, apabila dia bertugas sebagai guru di sebuah sekolah rendah, tambahnya lagi.

Li dihukum mati semalam oleh mahkamah di Tianshui, di wilayah barat laut, Gansu, lapornya lagi, dengan menambah kata bahawa dia telah dijatuhkan hukuman seberat mungkin kerana mudarat yang didatangkan ke atas kanak-kanak itu dan ‘impak sosial paling negatif’ kes itu.

“Dia telah mengambil kesempatan ke atas mereka yang keanak-anakan dan penakut dan telah melakukan perkara terkutuk itu di asrama atau bilik darjah,” tambah Xinhua.

Ia merujuk Mahkamah Tinggi Rakyat China sebagai berkata kes-kes penganiayaan seksual kanak-kanak telah meningkat dalam beberapa tahun kebelakangan dengan 7,145 di seluruh negara dalam tempoh 2012-2014.