China, India diselubungi asbut berbahaya

China, India diselubungi asbut berbahaya

BEIJING/NEW DELHI, 30 Nov (Reuters) – Bandar-bandar di dua buah negara yang paling ramai penduduk di dunia, China dan India, diselubungi asbut berbahaya dan melemaskan hari ini ketika rundingan perubahan iklim bermula di Paris, yang mana para pemimpin kedua-dua negara adalah peserta utama.

Bandar China, Beijing mengekalkan amaran pencemaran ‘jingga’, peringkat kedua tertinggi, pada hari ini, dengan menutup lebuh raya, menghentikan atau menangguhkan pembinaan dan menyebabkan amaran kepada para penduduk supaya tidak keluar rumah.

Pencemaran melemaskan berpunca dari cuaca yang ‘tidak baik’ menurut kementerian perlindungan Persekitaran semalam. Pengeluaran di utara China meningkat pada musim sejuk ketika sistem pemanasan bandar difungsikan dan kelajuan rendah angin bererti udara yang tercemar tidak memencar.

Di New Delhi, stesen pemantau kedutaan AS mencatatkan indeks kualiti udara 372 – yang meletakkan tahap pencemaran udara dalam wilayah ‘berbahaya’. Asbut tebal menyelubungi bandar dan jarak penglihatan menurun kepada kira-kira 200 meter.

Seorang wanita memperbetulkan topeng pelindung kepada anak damit ketika China diserang asbut berbahaya semalam. – Reuters
Seorang wanita memperbetulkan topeng pelindung kepada anak damit ketika China diserang asbut berbahaya semalam. – Reuters

Kualiti udara di bandar yang mempunyai 16 juta penduduk lazimnya teruk di musim sejuk, dengan beribu-ribu orang miskin menyalakan api dari arang batu untuk menghindari kesejukan. Bagaimanapun kerajaan belum menaikkan sebarang amaran berhubung kualiti udara pada masa ini dan tidak ada makluman dikeluarkan kepada orang awam. Tiga puluh orang pelari menyertai separa maraton pada hujung minggu, apabila tahap pencemaran di tahap tinggi.

Di Beijing, sebuah bandar yang mempunyai 22.5 juta penduduk, indeks kualiti udara di beberapa bahagian bandar itu meningkat kepada 500, tahap paling tinggi. Pada tahap lebih tinggi dari 300, para penduduk digalakkan terus berada di rumah, menurut garis pandu kerajaan. Udara berbahaya memperlihatkan cabaran yang dihadapi kerajaan ketika ia menangani pencemaran berpunca dari industri tenaga yang menggunakan pembakaran arang batu dan akan membangkitkan soalan tentang kemampuannya untuk membersihkan ekonomi pada rundingan di Paris.

Presiden China Xi Jinping dan Perdana Menteri India Narendra Modi berada di Paris dan mereka dijadualkan mengadakan pertemuan dengan Presiden AS Barack Obama hari ini untuk memberikan momentum pada rundingan dua minggu itu.

ARTIKEL YANG SAMA