China, Indonesia ikat perjanjian kereta api laju

China, Indonesia ikat perjanjian kereta api laju

JAKARTA, 16 Okt (AFP) – Syarikat-syarikat China dan Indonesia hari ini menandatangani perjanjian $5.5 bilion untuk membina kereta api berkelajuan tinggi yang pertama di ekonomi utama Asia Tenggara, selepas Beijing menewaskan Tokyo untuk memenangi projek pembinaan.

Laluan kereta api ini nanti akan menghubungkan ibu negara Indonesia, Jakarta dengan bandar di kawasan pergunungan di Bandung, kira-kira 160 kilometer (100 batu) jauh, dan merupakan sebahagian rancangan utama Presiden Joko Widodo untuk membaik pulih infrastruktur kepulauan itu dan menarik para pelabur.

Jepun telah lama dijangka membina kereta api tetapi kemasukan China dalam proses bidaan pembinaan tahun ini telah berjaya menolak tawaran Tokyo bulan lalu yang mendatangkan kemarahan kepada Jepun.

Gambar yang diambil pada 13 Ogos 2015 menunjukkan kakitangan syarikat kereta api Indonesia melihat model kereta api laju buatan China semasa pameran di sebuah pusat membeli-belah di Jakarta. – AFP
Gambar yang diambil pada 13 Ogos 2015 menunjukkan kakitangan syarikat kereta api Indonesia melihat model kereta api laju buatan China semasa pameran di sebuah pusat membeli-belah di Jakarta. – AFP

Pengerusi Kereta Api Antarabangsa China, Yang Zhongmin hari ini menandatangani perjanjian dengan sebuah konsortium syarikat kerajaan Indonesia untuk membentuk satu usaha sama bagi membina kereta api itu, dengan pembinaan dijangka bermula tahun depan dan akan digunakan menjelang tahun 2019.

“Kereta api berkelajuan tinggi ini akan memudahkan lagi orang ramai melakukan perjalanan,” katanya kepada wartawan di Jakarta, di mana perjanjian itu dimeterai. “Projek utama ini juga akan memberi peluang pekerjaan dan merangsang ekonomi.” Bank Pembangunan China akan menyediakan 75 peratus daripada pembiayaan, selebihnya dibiayai oleh syarikat kereta api Cina dan konsortium Indonesia. Laluan kereta api tidak akan memerlukan pembiayaan daripada kerajaan Indonesia, mahupun jaminan kerajaan. Laluan kereta api berkelajuan laju ini akan meliputi lapan stesen dari Jakarta ke Bandung, dan kereta api akan bergerak pada kira-kira 250 kilometer (150 batu) sejam.