China janji ketelusan, kematian cecah 75

China janji ketelusan, kematian cecah 75

JIANLI, China, 4 Jun (Reuters) – China hari ini berjanji ‘tidak akan menyembunyikan’ siasatan ke atas kapal peranginan karam di Sungai Yangtze yang mana 75 orang mati setakat ini dan lebih 370 masih hilang, ketika keluarga mangsa yang marah berhimpun berhampiran tapak menyelamat untuk menuntut jawapan.

Presiden Xi Jinping mengadakan mesyuarat tergempar dengan Jawatankuasa Tetap Politburo Parti Komunis, yang memegang kuasa tertinggi negara, hari ini untuk membincangkan bencana, agensi berita Xinhua melaporkan. Pihak berkuasa sedang menyiasat anggota krew yang diselamatkan dari Eastern Star yang karam dalam taufan pelik pada malam Isnin dan ‘mengumpulkan bukti,’ Xu Chengguang, jurucakap bagi Kementerian Pengangkutan menjelaskan.

“Kami tidak akan menyembunyikan kesilapan dan tidak akan merahsiakan segalanya,” Xu memberitahu sidang media malam semalam, menambah siasatan awal sudah pun bermula.

Jawatankuasa Tetap Politburo menyeru bagi penyelamat ‘untuk mengambil segala langkah’ untuk menyelamatkan mereka yang cedera dan menggesa ‘satu penyiasatan serius ke dalam punca insiden,’ lapor Xinhua ketika kerja-kerja mengopek badan kapal itu dibuat untuk mengeluarkan mangsa.

Mereka juga menekankan bahawa ‘usaha memuaskan hati keluarga adalah amat penting’ dan menyeru pihak berkuasa tempatan untuk ‘memahami kesedihan keluarga, menjalankan usaha memuaskan hati mereka dan secara jujur melindungi kestabilan sosial.’

Penyelamat mengusung mayat mangsa kapal karam di tebing Sungai Yangtze di Jianli, wilayah Hubei, China. Sanak saudara lebih daripada 400 yang hilang berhimpun di tapak kejadian menuntut maklumat terperinci mengenai kemalangan ketika penyelamat mengopek badan kapal dalam usaha terakhir mencari mereka yang masih terperangkap. – AFP
Penyelamat mengusung mayat mangsa kapal karam di tebing Sungai Yangtze di Jianli, wilayah Hubei, China. Sanak saudara lebih daripada 400 yang hilang berhimpun di tapak kejadian menuntut maklumat terperinci mengenai kemalangan ketika penyelamat mengopek badan kapal dalam usaha terakhir mencari mereka yang masih terperangkap. – AFP

Hanya 14 yang terselamat termasuk kapten dan ketua jurutera, yang ditemui semenjak kapal membawa 456 orang itu karam. Polis sudah menahan kapten dan ketua jurutera untuk disoal siasat. Satu siasatan awal mendapati kapal itu tidak terlebih muatan dan mempunyai rompi keselamatan mencukupi.

Pengumuman penyiasatan dibuat beberapa jam selepas berdozen-dozen sanak saudara memecahkan kepungan polis dalam usaha sampai ke tapak bencana. Kecewa dengan maklumat yang sedikit daripada pihak berkuasa tempatan, kira-kira 50 ahli keluarga menyewa bas untuk membawa mereka dari Nanjing ke mukim Jianli di Hubei, satu perjalanan yang memakan masa selama lapan jam.

Mereka menuntut kerajaan mengeluarkan senarai nama mereka yang terselamat dan mati serta mempersoalkan kenapa kebanyakan yang diselamatkan adalah anggota krew.

Sebahagiannya pula menuntut untuk mengetahui kenapa kapal itu tidak berlabuh dalam keadaan taufan dan kenapa kapten dan anggota krew mempunyai masa untuk memasang rompi keselamatan namun tidak membunyikan amaran.

ARTIKEL YANG SAMA