China kaji semula dasar perancangan keluarga

China kaji semula dasar perancangan keluarga

BEIJING, 25 Nov (Bernama) – “Awak rancang nak berapa orang anak?”, “Awak rancang nak ada lebih ramai anak ke?”. Soalan seperti ini biasa saya dengar dalam kalangan kawan saya di Malaysia yang sudah berkahwin.

Di Malaysia, selagi mampu hendak ada berapa anak pun boleh dan adalah perkara biasa melihat pasangan mempunyai lebih daripada seorang anak.

Bagaimanapun, purata saiz keluarga Malaysia telah mengecil sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Keadaan yang lain pula di China. Hampir mustahil untuk melihat pasangan yang mempunyai anak yang ramai kera na dasar negara ini yang mengamalkan dasar seorang anak.

Dasar itu adalah sebahagian daripada dasar perancangan keluarga yang diperkenalkan untuk mengawal pertumbuhan penduduk China.

Menurut Wikipedia, dasar itu diperkenalkan pada tahun 1978 dan dilaksanakan sebagai langkah sementara pada tahun 1980 untuk mengawal angka penduduk.

Kerajaan China mendapati penting untuk menghadkan jumlah penduduk bagi menampung permintaan air serta sumber lain di samping menangani masalah sosial, ekonomi serta alam sekitar.

Bagaimanapun, tidak ada gambaran jelas mengenai jumlah penduduk yang menurun disebabkan dasar seorang anak ini.