China, Korea Selatan bincang mengenai Utara

BEIJING, 12 Mac – Pengarah keselamatan negara Korea Selatan bertemu dengan pegawai kanan daripada sekutu paling rapat Korea Utara, China, hari ini selepas berita sidang kemuncak mungkin diadakan di antara Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dan pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un.

Chung Eui-yong memberi taklimat kepada penasihat dasar asing Yang Jiechi mengenai rundingan antara Korea baru-baru ini dan dijangka bertemu dengan Presiden China, Xi Jinping.

Chung mengumumkan pada minggu lalu bahawa Trump telah berkata akan bertemu dengan Kim pada Mei ‘untuk mencapai pembebasan nuklear selama-lamanya’ untuk Semenanjung Korea.

Chung berkata Kim memberitahu Korea Selatan ketika rundingan di Pyongyang bahawa dia ‘komited kepada pembebasan nuklear’ dan berjanji ‘Korea Utara akan berhenti daripada menjalankan sebarang ujian nuklear atau peluru berpandu.’

Suh Hoon, ketua agensi pengintip Korea Selatan, juga sedang melawat Jepun untuk memberi taklimat kepada pegawai di sana mengenai perkembangan dalam rundingan mereka.

Perniagaan asing Korea Utara, lebih 90 peratus di antaranya melalui China, telah terjejas teruk sejak Beijing bersetuju dengan resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu yang bertujuan memberi tekanan kepada Pyongyang untuk menghentikan ujian nuklear dan peluru berpandu serta menyertai semula rundingan pembebasan nuklear. – AP