China kritik import duti ke atas keluli

China kritik import duti ke atas keluli

BEIJING, 9 Okt – China telah menuduh Kesatuan Eropah menjejaskan persaingan dengan mengenakan duti anti-lambakan ke atas keluli China, sekali gus menambah ketegangan global mengenai aliran eksport China kos murah berkenaan.

Duti EU yang diumumkan pada Jumaat adalah yang terbaru dalam beberapa siri langkah yang diambil oleh Eropah, Amerika Syarikat dan rakan perniagaan lain sebagai respons kepada apa yang mereka katakan sebagai harga rendah untuk keluli China. Mereka mengadu aliran eksport China sedang menjejaskan harga global, pesaing asing serta menghapus pekerjaan.

Satu kenyataan Kementerian Perdagangan berkata eksport keluli China tidak dapat menjejaskan harga disebabkan ia hanya menyumbang kepada 5 peratus daripada pasaran Eropah.

“Mengambil langkah yang salah demikian sebagai perlindungan perdagangan dan mengehadkan persaingan pasaran yang adil bukan haluan yang betul untk perkembangan dan kemajuan industri keluli Kesatuan Eropah,” kata kenyataan yang bertarikh pada Sabtu.

Duti EU terbaru membabitkan keluli gelung, yang digunakan dalam pembinaan, pembinaan kapal dan saluran paip, dan plet keluli berat digunakan dalam pembinaan dan pengeluaran pemindah tanah dan peralatan berat lain. Bayaran adalah di antara 65.1 peratus kepada 73.7 peratus untuk plet berat dan 13.2 peratus hingga 22.6 peratus untuk keluli gelung.

Keluli adalah satu daripada beberapa industri China di mana pengeluaran berkembang dengan pesat dalam satu dekad lalu sehingga bekalan melebihi permintaan, menyebabkan harga meleset dan meninggalkan tunggakan barangan tidak dijual.

Beijing telah mengarahkan bank negara supaya memberikan pinjaman untuk membantu eksport keluli, yang telah mencetuskan aduan bahawa ia menjual pada harga di bawah tahap pasaran dalam pencabulan kepada komitmen perniagaannya. – AP

ARTIKEL YANG SAMA