China kuasai senarai syarikat terbaik Asia

China kuasai senarai syarikat terbaik Asia

SINGAPURA, 23 Julai –Syarikat dari China menguasai senarai 50 Syarikat Terbaik (Fab 50) Asia oleh majalah Forbes tahun ini yang mempunyai syarikat senaraian awam besar terbaik rantau ini.

Senarai Fab 50 adalah penghargaan tahunan yang menonjolkan sebahagian syarikat terbaik di Asia Pasifik, kata Forbes dalam satu kenyataan.

Tahun ini, China mempunyai 25 syarikat dalam senarai berkenaan, berbanding 16 tahun lepas dan lebih banyak syarikat berbanding dari negara lain untuk tahun kelima berturut-turut, katanya.

Forbes berkata, China juga menguasai senarai syarikat paling berharga, Tencent, kini bernilai AS$176.5 bilion dan syarikat paling besar, Lenovo yang menjana pendapatan AS$46.3 bilion tahun lepas.

Menurutnya, tahun ini menandakan ulang tahun ke-10 senarai Fab 50 Asia oleh Forbes.

Dalam senarai pertama 10 tahun lalu, Jepun menghasilkan syarikat paling banyak, 12, dan Australia ditempat kedua dengan 10 syarikat.

Tahun ini, Jepun mempunyai hanya satu syarikat dan tiada langsung dari Australia.

Hong Kong mempunyai lima syarikat dalam senarai pertama dan tahun ini sifar.

Hanya sebuah syarikat daripada 2005 termasuk dalam senarai tahun ini, iaitu Lenovo.

Syarikat terbaik dalam Fab 50 dalam tempoh sedekad lalu, HDFC Bank dari India, hanya muncul mulai 2006.

Bagaimanapun, ia termasuk dalam senarai itu sebanyak sembilan kali, lebih banyak daripada syarikat lain.

HDFC adalah bank kedua terbesar dalam sektor swasta India selepas ICICI Bank.

Untuk tahun kelima berturut-turut, India mempunyai bilangan syarikat yang kedua tertinggi, 10 kali ini.

Tempat ketiga dikuasai Korea Selatan dengan empat syarikat. Tetapi sebuah syarikat yang tersenarai sejak enam tahun lepas, Naver, tercicir tahun ini. – Bernama