China mahu perluas kawasan FTA

China mahu perluas kawasan FTA

BEIJING, 17 Dis – China akan meningkatkan kerjasama dengan negara-negara jiran dan menambah baik sistem sokongan dan penilaian untuk meluaskan kawasan perdagangan bebasnya (FTA), demikian lapor Agensi Berita Xinhua hari ini.

Dengan mempercepatkan rundingan FTA dengan negara-negara jiran dan meningkatkan tahap liberalisasi perdagangan dalam FTA sedia ada, China menyasar mempunyai sekurang-kurangnya kadar perdagangan asing yang sama dengan rakan-rakan FTA seperti yang dilakukan kebanyakan ekonomi maju dan sedang pesat membangun, kata agensi berita itu yang memetik garis panduan yang dikeluarkan oleh Majlis Negara.

Xinhua berkata, secara beransur-ansur, rangkaian FTA akan berkembang dari negara jiran dan negara sepanjang insiatif Belt and Road ke kebanyakan negara sedang pesat membangun, negara membangun utama, kumpulan ekonomi serantau utama, dan sebahagian daripada negara maju.

Mengenai garis panduan itu, agensi berkenaan berkata, ia secara khususnya menggalakkan pembukaan sektor perkhidmatan termasuk kewangan, pendidikan, budaya, penjagaan kesihatan, kelonggaran peraturan akses pelaburan dalam penjagaan kanak-kanak dan warga emas, reka bentuk seni bina, perakaunan dan audit, logistik dan e-dagang.

Garis panduan itu juga memperkenalkan mekanisme sokongan bagi pembinaan FTA. Ia berkata sistem penilaian pihak ketiga akan ditambah baik bagi tujuan membuat keputusan dan kawalan risiko manakala undang-undang pelaburan asing akan dikemaskinikan.

Sementara itu, agensi berita tersebut turut melaporkan China menerima pelaburan langsung keluar (ODI) bukan kewangan sebanyak AS$8.92 bilion pada November, naik 12.6 peratus tahun ke tahun.

Dalam tempoh 11 bulan pertama tahun ini, China mencatatkan AS$104.13 bilion pelaburan ODI bukan kewangan, naik 16 peratus tahun ke tahun, lapor agensi itu yang memetik jurucakap Kementerian Perdagangan, Shen Danyang sebagai berkata.

Bagi tempoh Januari-November, pelaburan China di ASEAN dan Amerika Syarikat meningkat masing-masing sebanyak 109.9 peratus dan 55 peratus, berbanding tempoh yang sama tahun lepas.

Perolehan projek kontrak asing pada tempoh itu berjumlah AS$130.12 bilion, naik 7.3 peratus tahun ke tahun, manakala projek kontrak asing baharu bernilai AS$163.03 bilion, naik 1.3 peratus tahun ke tahun. – Bernama