China mahu RCEP dimuktamadkan segera

China mahu RCEP dimuktamadkan segera

MANILA, 18 Nov (Bernama) – China mahu Perkongsian Ekonomi Menyeluruh Serantau (RCEP) yang melibatkan 16 negara dimuktamadkan secepat mungkin, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Saya telah memaklumkan kepada beliau bahawa Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri sedang mengatur pelbagai mesyuarat untuk membincangkan tentangnya dan memuktamadkannya pada akhir 2016,” katanya selepas mesyuarat dua hala dengan Presiden China, Xi JinPing di sini.

RCEP ialah perjanjian perdagangan bebas yang dirundingkan oleh 10 negara ASEAN, China, Australia, Jepun, Korea Selatan, New Zealand dan India.

Selain memiliki hampir separuh daripada penduduk dunia, gabungan pengeluaran ekonomi-ekonomi RCEP tahun lepas berjumlah US$22.7 trilion yang menyumbang kira-kira 29.3 peratus daripada pengeluaran dunia.

Menurut Najib, dalam pertemuan selama 45 minit itu, China turut mengulangi minatnya untuk menyertai proses bidaan Projek Kereta Api Laju yang menghubungkan Malaysia-Singapura.

Pertemuan itu diadakan di luar Sidang Kemuncak Para Pemimpin Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) ke-23 di sini. Malah, pertemuan itu turut diadakan atas permintaan China. Najib, yang juga Menteri Kewangan berkata, Presiden Xi turut menekankan mengenai kepentingan inovasi, produktiviti dan industri pertanian.

“Satu daripada perkara yang saya bincangkan adalah mengenai potensi untuk perdagangan dalam mata wang tempatan (renminbi)”.

ARTIKEL YANG SAMA