China pasang radar di laut

China pasang radar di laut

TOKYO, 7 Ogos – China telah memasang satu radar dengan fungsi tentera di satu kawasan yang dipertikaikan di Laut China Timur, kata media Jepun hari ini, dalam ketegangan terbaru di antara kedua-dua negara.

Kementerian luar Jepun berkata China telah menempatkan satu radar pemeriksaan permukaan dan kamera pengawasan di salah satu strukturnya di padang gas yang dituntut oleh kedua-dua negara, lapor akhbar perniagaan Nikkei.

Kementerian pada Jumaat mengadu kepada Beijing menerusi saluran diplomatik, lapor akhbar.

Akhbar itu berkata ia adalah unit radar pertama yang diketahui telah dipasang di mana-mana struktur China di kawasan itu, yang dipercayai kaya dengan simpanan minyak dan gas.

Tokyo sedang menganalisis keupayaan radar dan bimbang Beijing mungkin berniat memperkukuh kuasa tenteranya di Laut China Timur.

Kementerian luar tidak memberi respons terhadap permintaan untuk memberi komen mengenai laporan berkenaan.

Jepun dan China bersetuju pada tahun 2008 untuk memajukan bersama simpanan di bawah laut di kawasan yang dipertikaikan, dengan pengharaman ke atas aktiviti mencari gali satu pihak.

Namun rundingan tersebut menemui kebuntuan dan Tokyo mengesyaki China mempunyai beberapa pelantar mencari gali yang sedang beroperasi berhampiran sempadan laut de facto dengan Jepun.

Hari ini, Tokyo membantah kepada Beijing selepas dua buah kapal China memasuki perairan Jepun berhampiran pulau yang dipertikaikan juga di Laut China Timur.

Kerajaan Jepun berkata dua kapal pengawal pantai China sedang belayar kira-kira 20 kilometer ke barat salah sebuah pulau Senkaku, dikenali sebagai Diaoyus dalam bahasa China, pada pagi ini.

“Gangguan itu mencabul kedaulatan negara kami dan sepenuhnya tidak dapat diterima,” kata naib menteri luar negeri Jepun, Shinsuke Sugiyama memberitahu Cheng Yonghua, duta Beijing ke Tokyo, menerusi telefon, menurut kenyataan kerajaan.

Dua kapal meninggalkan perairan itu kemudian hari ini, menurut pengawal pantai Jepun. – AFP

 

ARTIKEL YANG SAMA