China pasaran eksport baru

China pasaran eksport baru

KUALA LUMPUR, 11 Okt – China kini muncul sebagai pasaran eksport baharu kepada syarikat Malaysia yang menyertai Ekspo China ASEAN (Caexpo) edisi ke-13 baru-baru ini, untuk mempromosi serta membekal jenama dan makanan tradisi Malaysia.

Antara produk itu termasuk pes masakan, makanan ringan dan minuman berperisa buah-buahan.

China dengan penduduk sebanyak 1.3 bilion, jumlah yang jauh lebih besar berbanding Malaysia, sudah pasti menawarkan peluang terbaik dan sangat luas untuk eksport makanan oleh syarikat Malaysia.

Sebuah jenama tempatan, WaRich, kali pertama menyertai Caexpo yang berlangsung selama empat hari di Nanning, China, mendapati acara dagangan itu telah memberi pendedahan untuk produk keluarannya, pes masakan dan biskut.

“Dengan peluang ini, kami mahu menembusi pasaran China,” kata wakil syarikat, Mohd Nazri Yahya kepada Bernama.

WaRich merupakan jenama didaftarkan di bawah Koperasi Usahawan Groombig Negeri Sembilan Bhd.

Mohd Nazri berkata WaRich mahu mengguna pakai platform dagangan dalam talian bagi produknya untuk memudahkan perniagaan dengan China.

Sementara itu, Gunalan Thrumalai telah memperoleh tempahan 11 kontena kargo muruku, makanan ringan berempah tradisional yang popular dalam kalangan kaum India.

“Ini merupakan kali pertama saya di Caexpo, dan saya telah memperoleh perniagaan yang baik, secara kasarnya, kos satu kontena kargo muruku adalah RM100,000,” kata pembuat muruku daripada G&R Foods (M) Sdn Bhd.

Thrumalai berkata produk syarikat berkenaan yang mendapat pengesahan halal, telah menarik ejen China untuk menjadi satu-satunya pengedar di bandar Nanning.

“Kami akan membuat pembungkusan baharu yang sesuai untuk pengguna di China,” katanya.

Langkah penawaran produk disahkan halal di peringkat antarabangsa itu adalah seiring kenyataan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Kedua, Datuk Seri Ong Ka Chuan baru-baru ini bahawa produk makanan halal Malaysia kini mendapat sambutan memberangsangkan daripada pengguna China.

Beliau berkata ia sekali gus menggalakkan lebih banyak syarikat mengeluarkan produk halal untuk dipasarkan di negara berkenaan, tidak hanya menyasarkan pengguna Muslim sahaja malah diperluaskan juga kepada bukan Islam.

Semasa ekspo yang sama, Innotrend Resources (M) Sdn Bhd turut mengambil peluang mempromosikan teh dan kopi pelbagai perisa, namun yang paling terkenal ialah kopi berperisa durian.

“Penduduk China sangat menggemari ‘Raja Buah’ (durian) kita. Nampaknya mereka suka apa sahaja mempunyai rasa buah itu. Kami berusaha memperkenalkan durian sebagai bahan dalam memberi perisa dan aroma,” kata wakil jualannya, Tan Teng Chai.

Beliau berkata produk itu telah berada di pasaran Chengdu, Shanghai dan Guangzhou selama setahun.

Caexpo berkenaan turut dihadiri Pengerusi Alibaba Group, Jack Ma, yang berkata untuk berdaya maju, perdagangan melalui platform e-dagang akan memainkan peranan penting dalam kemajuan ekonomi rantau ASEAN.

Seiring dengan kepentingan e-dagang di rantau itu, China akan mewujudkan platform rentas sempadan bagi memudahkan lebih banyak import dari negara Asia Tenggara.

Negara berkenaan turut mempertimbangkan rangka undang-undang dan kawal selia baharu untuk industri e-dagang bagi melancarkan proses perniagaan. – Bernama