China Railway galas projek

China Railway galas projek

KUALA LUMPUR, 11 Dis (Bernama) – Projek landasan berkembar elektrik Gemas-Johor Bahru (JB) akan diberikan kepada pengendali kereta api negara China, China Railway, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai.

“Kita komited dan berharap ini akan mempercepatkan projek tersebut.

“Apabila projek ini siap pada 2020, ia akan melengkapkan keseluruhan rangkaian landasan berkembar elektrik ke Padang Besar,” katanya pada pelancaran Pameran Kereta Api Berkelajuan Tinggi China di sini, hari ini.

Liow berkata pada masa ini, rangkaian landasan kereta api negara meliputi 1,641.4 kilometer, dengan 46 peratus merupakan landasan berkembar elektrik.

Gambar fail pada 20 November menunjukkan Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai. – Bernama
Gambar fail pada 20 November menunjukkan Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai. – Bernama

Laluan berkenaan akan dilanjutkan kepada 58 peratus apabila siap projek landasan berkembar elektrik Gemas-JB berkenaan.

Projek landasan berkembar Gemas-Johor Baharu itu yang akan bermula tahun depan, dijangka melibatkan kos RM7.13 bilion.

Landasan sepanjang 197 kilometer menyediakan kapasiti untuk kereta api mencapai 160 kilometer sejam, dengan had kelajuan operasi 140 kilometer sejam.