China rampas 400kg kokain

China rampas 400kg kokain

BEIJING, 19 April (AFP) – Polis China telah menumpaskan sindiket penyeludupan dadah rentas sempadan dalam satu serbuan yang merampas lebih 400 kilogram kokain – rampasan terbesar negara itu dalam beberapa tahun kebelakangan, menurut pihak berkuasa.

Sembilan suspek, termasuk lima dari Hong Kong, telah ditahan semasa operasi tersebut, menurut penguat kuasa keselamatan awam di wilayah selatan Guangdong dalam satu kenyataan.

Di bawah undang-undang jenayah China, mereka akan berdepan hukuman mati. Mahkamah China telah memiliki hampir 100 peratus kadar sabitan dan hukuman mati yang boleh dikenakan ke atas penyeludupan, penjualan, pengangkutan atau pengilangan lebih daripada satu kilogram candu, 50 gram heroin atau methamphetamine, atau ‘sejumlah besar’ dadah lain.

Sekitar 400.5 kg (883 paun) kokain telah dirampas, ‘jumlah yang mencatat rekod’ dalam mana-mana kes tunggal di negara itu dalam masa beberapa tahun, menurut kenyataan polis kelmarin.

“Pengangkutan, penyimpanan dan rangkaian pengedaran dadah rentas-sempadan, yang dikawal oleh pengedar dadah Hong Kong telah ditumpaskan,” ujarnya.

Ia tidak memberi anggaran nilai harga pasaran dadah tersebut, namun akhbar rasmi China Daily memetik ketua penguat kuasa dadah wilayah sebagai berkata, ia bernilai kira-kira lebih 334 juta yuan (AS$52 juta).

Deng mengatakan kokain itu telah dihantar dari Amerika Selatan. “Penyeludup luar negeri menggunakan Guangdong, yang memiliki rangkaian pengangkutan canggih, sebagai pusat transit utama bagi mengedar dadah ke negara dan rantau lain,” ujarnya.

ARTIKEL YANG SAMA