China rancang...

China rancang bina struktur pertama

BEIJING, 17 Mac – China merancang membina struktur tetap pertama di beting Laut China Selatan di tengah perbalahan wilayah dengan Filipina, dalam satu tindakan yang mungkin memperbaharui kebimbangan mengenai tuntutan Beijing di perairan strategik berkenaan.

Pegawai tertinggi di Bandar Sansha yang telah mentadbir tuntutan pulau China sejak 2012 dipetik oleh akhbar Hainan Daily sebagai berkata persiapan sedang dilakukan untuk membina stesen pengawasan alam sekitar di Beting Scarborough di luar barat laut Filipina.

Kerja-kerja persiapan di stesen dan yang lain di lima pulau lain di jalan air strategik itu adalah antara dasar utama kerajaan untuk tahun 2017, Setiausaha Parti Komunis Sansha Xiao Jie dipetik sebagai berkata dalam satu temu bual yang disiarkan dalam edisi Isnin akhbar yang dilihat di Internet pada Jumaat di Beijing.

Tidak ada butir-butir lain yang disiarkan.

Beijing merampas Scarborough yang tidak berhuni pada 2012 selepas pertempuran dengan kapal Filipina.

Taiwan juga memasukkan pulau berkenaan dalam tuntutan Laut China Selatan yang sebahagiannya bertindan dengan pulau China.

Stesen lain yang disebut oleh Xiao akan ditempatkan di kumpulan pulau Paracel yang dikawal oleh China sejak merampas sebahagiannya dari Vietnam pada tahun 1974.

Kerja-kerja pembinaan dan penebusgunaan tanah oleh China di Laut China Selatan telah menerima kritikan dari AS dan negara lain, yang menuduh Beijing menenterakan rantau dan mengubah geografi untuk merangsang tuntutannya.

China berkata ketujuh-tujuh pulau buatan manusia dalam kumpulan Spratly, yang telah dilengkapinya dengan lapangan terbang kecil dan bangunan tentera, adalah untuk tujuan awam dan untuk menambah keselamatan untuk perniagaan marin dan penangkapan ikan.

Sebelum pengumuman, ketegangan Laut China Selatan telah reda sejak Beijing marah pada tahun lalu selepas tribunal penimbang tara yang berpangkalan di Hague memutuskan kes yang difail oleh Filipina.

Keputusan berkenaan membatalkan tuntutan wilayah oleh Beijing dan memutuskan China mencabul hak Filipina untuk menangkap ikan di Beting Scarborough.

China sejak itu telah membenarkan nelayan Filipina pulang ke beting selepas Presiden Filipina Duterte Rodrigo menggesa hubungan lebih erat dijalin di antara kedua-dua negara, namun ia tidak mengiktiraf keputusan tribunal sebagai sah dan menegaskan ia mempunyai tuntutan bersejarah kepada hampir kesemua Laut China Selatan, di mana perniagaan global bernilai AS$5 trilion melaluinya setiap tahun. – AP