China sedia desak rundingan COC

China sedia desak rundingan COC

KUALA LUMPUR, 3 Ogos (Bernama) – China sedia bekerjasama rapat dengan ASEAN untuk mendesak perundingan berhubung pewujudan Kod Tatalaku (CoC) bagi Laut China Selatan, menurut Naib Menteri Luar, Liu Zhenmin.

“Selepas bertahun-tahun lamanya, kami bersetuju supaya perundingan CoC memasuki tahap baharu,” katanya.

Ia, katanya, akan turut merangkumi isu penting dan rumit seperti mengenal pasti elemen bersama bagi penyediaan draf kerangka CoC.

“Ini mewujudkan langkah ke arah proses perundingan. Saya harap dalam beberapa bulan atau tahun akan datang, perbincangan ini dapat diperhebatkan, katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas Mesyuarat Pegawai Kanan ASEAN Campur Tiga (APT SOM) di sini hari ini, bersempena Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) ke-48.

Menurut Liu, kumpulan kerja bersama berkaitan CoC akan bermesyuarat Oktober ini dengan China dan ASEAN akan meneruskan perbincangan berkaitan perumusan dokumen itu.