China sedia hadapi banjir teruk

China sedia hadapi banjir teruk

WUHAN, 4 Julai – Pihak berkuasa bantuan bencana China dan beberapa pakar berkata usaha-usaha kawalan banjir akan ditingkatkan untuk persediaan bagi menghadapi banjir teruk di sepanjang Sungai Yangtze tatkala hujan lebat masih berterusan melanda kawasan saliran tersebut.

Chen Guiya, timbalan pengarah Jawatankuasa Sumber Air Sungai Yangtze, berkata bahawa di sepanjang minggu lepas tiada ruang bagi kelonggaran dalam usaha-usaha kawalan banjir apabila beberapa tebing sungai telah mengalami kerosakan akibat banjir.

“Kemudahan kawalan banjir, terutamanya bendungan utama di sepanjang Sungai Yangtze, telah diperkukuhkan sejak 1998 untuk menahan situasi banjir-banjir teruk, namun kenaikan paras air telah merosakkan beberapa tebing sungai di tengah dan kawasan bawah Yangtze, yang boleh menimbulkan bahaya besar,” kata Chen.

Kesan seumpama El Nino itu mencetuskan banjir besar di Yangtze, sungai terpanjang China, dan membawa kepada lebih daripada 1,320 kematian dalam 1998.

Beberapa pakar berkata benteng utama di Yangtze tidak akan rosak seperti tahun 1998, namun banjir teruk kemungkinan akan melanda anak-anak sungainya.

Pihak berkuasa kaji cuaca China pada Sabtu lepas memperbaharui amaran jingga bagi hujan lebat di Selatan dan Barat Daya China dalam tiga hari mendatang.

Keadaan cuaca buruk akan membawa kepada lebih banyak bencana dalam hari-hari mendatang, menurut ibu pejabat kawalan banjir Yangtze. Ia mengarahkan agar pihak-pihak berkuasa setempat kekal berada pada tahap kesediaan yang tinggi, secara teratur mengerahkan anggota-anggota bantuan dan mengeluarkan amaran-amaran tepat pada masa kepada orang awam. – Xinhua

ARTIKEL YANG SAMA