China sertai Jerman ke suku akhir Piala Dunia

China sertai Jerman ke suku akhir Piala Dunia

EDMONTON, 21 Jun (AFP) – Jaringan tunggal Wang Shanshan membantu China menumpaskan Cameroon untuk layak ke suku akhir Piala Dunia Wanita di sini, sebentar tadi.

Di sebalik cabaran sengit yang dipamerkan pasukan di ranking ke-53 dunia itu, China yang menduduki ranking ke-16, tetap unggul untuk mara ke peringkat lapan pasukan terbaik buat kali keenam.

Wang selaku benteng, meledak gol kemenangan itu pada minit ke-12 selepas menyambut umpanan Li Dongna, yang mengawal baik sepakan sudut disempurnakan oleh Wang Lisi pada aksi di Stadium Komanwel Edmonton itu.

Ia adalah jaringan kedua pemain berusia 25 tahun itu pada temasya ini untuk menghantar pulang pasukan terakhir dari benua Afrika itu dari kejohanan.

Pasukan China yang muncul naib juara pada Piala Dunia Wanita pada 1999, bakal bertemu dengan Amerika Syarikat atau Colombia pada Jumaat ini untuk merebut tempat ke separuh akhir.

Pemain China, Wang Shanshan (kiri) meraikan gol beliau semasa perlawanan Piala Dunia Wanita antara Cameroon dan China di Stadium Komanwel di Edmonton, Alberta. – AFP
Pemain China, Wang Shanshan (kiri) meraikan gol beliau semasa perlawanan Piala Dunia Wanita antara Cameroon dan China di Stadium Komanwel di Edmonton, Alberta. – AFP

Celia Sasic menjaringkan dua gol, manakala Anja Mittag dan Dzsenifer Marozsan, masing-masing satu bagi membolehkan juara 2003 dan 2007 Jerman, mara sebagai lapan pasukan terbaik buat kali ketujuh sejak kejohanan diperkenalkan.

Pemain pertahanan Linda Sembrant menjaringkan gol tunggal Sweden lapan minit sebelum wisel penamat dibunyikan.

Kekalahan itu juga sekali gus memastikan pasukan berkenaan pulang awal selepas muncul sebagai pasukan terbaik di tempat ketiga saingan peringkat kumpulan.

Jerman yang tersingkir pada saingan suku akhir pada Piala Dunia 2011, bakal bertemu sama ada Perancis atau Korea Selatan, yang bakal berentap di Montreal selepas ini, bagi memburu tempat ke separuh akhir.

ARTIKEL YANG SAMA