China ‘tahan 20’ Britain, Afrika S

China ‘tahan 20’ Britain, Afrika S

BEIJING, 15 Julai – Dua puluh orang dari Afrika Selatan, Britain dan India telah ditahan di China dan beberapa daripadanya mungkin berdepan dakwaan jenayah selepas dituduh melihat “video propaganda,” menurut sebuah kumpulan amal hari ini.

Gift of the Givers, sebuah badan kebajikan bantuan bencana yang berpangkalan di Afrika Selatan, berkata 20 pelancong telah ditahan pada Jumaat di lapangan terbang Ordos di rantau Inner Mongolia, China.

Menurutnya lagi, 10 adalah warga Afrika Selatan, sembilan warga Britain dan seorang warga India.

“Tidak ada sebab yang diberikan atas penahanan. China, yang kini cuba mencari alasan untuk penangkapan mencadangkan beberapa anggota dikaitkan dengan kumpulan keganasan,” tambahnya.

Persatuan itu mengatakan hari ini, bahawa enam warga Britain anggota kumpulan itu sudah meninggal China, sementara lima warga Afrika Selatan akan pulang ke tempat asal mereka esok.

Sembilan orang lain “sedang ditahan tanpa dakwaan di sebuah pusat tahanan atas tuduhan mereka menonton video propaganda,” kata kumpulan di laman Facebook.

Warga Afrika Selatan itu termasuk beberapa orang doktor dan rakan ahli perniagaan yang terkenal, menurut kumpulan itu dengan menambah bahawa jelajah para pengembara yang dirancang selama 47 hari itu ke ‘purba China’ telah bertukar menjadi ‘keadaan yang menggerikan.’

Pengasas kumpulan Gift of the Givers, Imtiaz Sooliman memberitahu AFP, bahawa tahanan itu tidak secara langsung berkaitan dengan pertubuhan itu, namun salah seorang saudara bagi mereka yang ditahan itu telah meminta untuk masuk campur.

Penahanan itu muncul ketika parti Komunis pemerintahan China memperkukuhkan kawalan ke atas badan kebajikan asing yang bekerja di negara itu, dan ke atas mana-mana kumpulan yang menunjukkan ancaman politik.

Keluarga lima warga Afrika Selatan yang masih ditahan sedang mempertimbangkan untuk melantik seorang peguam China, Gift of the Givers mengatakan sambil menambah: “Maklumat diterima daripada China pada pagi ini sangat kurang menyenangkan ketika kami diberitahu bahawa ramai peguam hak asasi kemanusiaan telah ditangkap oleh kerajaan China.”

Kementerian keselamatan awam di Beijing tidak melayan permintaan untuk memberi komen oleh AFP.

Beijing baru-baru ini melanjutkan tindakan keras seluruh negara ke atas ‘pengganas’ yang disahkannya selepas siri serangan ganas yang disalahkannya ke atas pemisah Islam dari rantau Muslim di Xinjiang.

Parti Komunis yang memerintah, mensyaki kumpulan dari negara luar, telah mempertingkatkan kawalan ketat ke atas badan kebajikan luar yang bekerja di negara itu.

Media milik kerajaan telah menuduh beberapa kumpulan cuba untuk membangkitkan revolusi dan menggulingkan parti.

Seorang jurucakap bagi kedutaan Britain di Beijing mengatakan hari ini bahawa 11 warga Britain telah ditahan di utara China, dua daripadanya memegang dua warganegara Afrika Selatan. – AFP