China tambah pembiayaan projek ‘Made In China 2025’

BEIJING, 12 Okt – China akan menambah jumlah pembiayaan untuk projek utama di bawah pelan induk ‘Made in China 2025’, iaitu strategi menaik taraf sektor pembuatan negara itu, lapor agensi berita Xinhua. Kementerian Industri dan Teknologi Maklumat (MIIT) berkata, di bawah strategi itu, pembiayaan diutamakan untuk sektor yang meningkatkan inovasi pembuatan, termasuk internet pelbagai benda, peralatan pintar dan elektronik mewah.

Jumlah pembiayaan itu mungkin melebihi 10 bilion yuan (AS$1.5 bilion), lapor Daily Information Economics.

Selain pembiayaan di peringkat pusat, pihak berkuasa tempatan juga akan meningkatkan bantuan kewangan untuk projek di bawah pelan induk itu, dengan lebih 10 bilion yuan dijangka dilaburkan kerajaan tempatan di seluruh negara dari 2016 hingga 2020. Selain itu, MIIT akan bekerjasama dengan Bank Pembangunan China untuk menyediakan perkhidmatan kewangan termasuk pinjaman, bon dan pajakan sebagai menyokong projek utama, dengan anggaran pembiayaan berjumlah 300 bilion yuan dalam tempoh 2016-2020.

‘Made in China 2025’, pelan induk yang dikeluarkan Majlis Negara pada 2015, bertujuan membimbing industri pembuatan. Setakat ini telah menunjukkan kemajuan yang mantap dalam keupayaan perindustrian, pembuatan pintar, inovasi, kualiti produk dan penjenamaan.

Purata produktiviti meningkat sebanyak 38 peratus bagi 109 projek perintis dalam industri pembuatan pintar, manakala kos operasi menurun sebanyak 21 peratus, menurut MIIT. – Bernama

Beberapa orang pekerja China ketika melakukan kerja-kerja pembuatan di salah sebuah kilang di China. China akan menambah jumlah pembiayaan untuk projek utama di bawah pelan induk ‘Made in China 2025’, iaitu strategi menaik taraf sektor pembuatan negara itu. – AFP