China tarik pengeluar kereta asing

China tarik pengeluar kereta asing

PARIS, 2 Sept (AFP) – Pengeluar kereta asing yang berlumba menceburi pasaran China untuk mengaut keuntungan daripada apa yang telah menjadi pasaran kereta terbesar dunia berdasarkan jumlah tidak mempunyai hasrat untuk berundur meskipun jualan lembap tatkala ekonomi China meleset.

Sementara mengekalkan pandangan positif mereka mengenai potensi pasaran dalam jangka sederhana, pengeluar kereta terpaksa membuat beberapa penyelarasan.

Mereka telah mengurangkan ramalan mereka untuk pertumbuhan jualan pada 2015 dan ada di antaranya telah meluahkan kebimbangan mengenai perang harga yang bakal berlaku, dan saham syarikat dalam industri telah terjejas di pasaran dunia.

Jualan kereta, penunjuk tradisional keadaan ekonomi, meningkat di China sebanyak hampir 14 peratus pada 2013 dan 6.9 peratus pada 2014.

Tahun ini ramalan adalah suram dengan penganalisis meramalkan pertambahan jualan sebanyak kira-kira 3.0 peratus memandangkan pertumbuhan ekonomi China telah berkurangan daripada 7.4 peratus pada tahun lalu.

Ahli ekonomi telah meletak kadar pertumbuhan separuh tahun pertama di China pada kira-kira 6.3 peratus, lebih rendah daripada 7.0 peratus, menurut satu tinjauan terbaru oleh Bloomberg News.

“Saya tidak fikir kami akan melihat sekali lagi kadar pertumbuhan yang dilihat oleh kami sebelum ini,” kata Yann Lacroix, pakar mengenai sektor kereta di syarikat insurans Euler Hermes.

Pengeluar kereta terkenal di dunia semuanya memperoleh keuntungan ketika tahun melambung di China. Pada 2014, Volkswagen menjual 36 peratus daripada pengeluaran globalnya di China, General Motors 35 peratus, PSA Peugeot Citroen 25 peratus, BMW 20 peratus dan pengeluar Mercedes Daimler 16 peratus.

Namun kemelesetan yang dihadapi sekarang “tidak menjejas prospek untuk pasaran China menjelangnya tahun 2020, yang tetap baik,” kata Flavien Neuvy, penganalisis pasaran kereta untuk Cetelem.

Beliau merujuk kepada perkembangan mampan kelas pertengahan di sebuah negara di mana kebanyakan keluarga masih belum memiliki kereta.

Pengeluar kereta nombor satu dunia Toyota, yang telah melihat kira-kira 11 peratus daripada jualan global di China, berkata pada masa ini ia masih belum mengalami sebarang kesan daripada kemelesetan ekonomi negara.