China tetap sabar terhadap provokasi

China tetap sabar terhadap provokasi

SHANGHAI, 20 Nov (Reuters) – Laksamana tertinggi China berkata tenteranya telah menunjukkan “kesabaran” ketika menghadapi provokasi AS di Laut China Selatan, sementara mengingatkan mereka bersedia untuk bertindak balas terhadap pencabulan kedaulatan China.

Beijing, yang menuntut hampir kesemua Laut China Selatan di mana perniagaan bawaan kapal berjumlah $5 trilion melaluinya setiap tahun, telah mempertingkat program penebusgunaan tanah dan pembinaan di pulau yang dipertikaikan dan terumbu di sana yang telah mencetuskan kebimbangan di rantau Asia Pasifik.

Amerika Syarikat telah meminta pembinaan pulau tiruan China dihentikan, dan dalam beberapa minggu ini telah berusaha untuk menunjukkan keazamannya untuk mencabar Beijing mengenai laut yang dipertikaikan dengan menghantar kapal dan kapal terbang tentera berhampiran pulau itu.

“Tentera laut China telah mengawasi tindakan provokatif Amerika Syarikat dan mengeluarkan beberapa amaran, sementara mengamalkan kesabaran demi melindungi keadaan keseluruhan dalam hubungan dua hala,” kata Wu Shengli, komander Tentera Laut Pembebasan Rakyat, menurut satu laporan di laman sesawang kementerian pertahanan lewat semalam.

“Jika Amerika Syarikat melakukan provokasi berkali-kali meskipun bantahan dari China, kami mempunyai keupayaan untuk mempertahan kedaulatan dan keselamatan negara kami.”

Wu membuat komen tersebut dalam satu mesyuarat di Beijing semalam dengan Laksamana Scott Swift, komander armada Pasifik Amerika Syarikat.

Vietnam, Filipina, Taiwan, Malaysia dan Brunei juga menuntut sebahagian dari Laut China Selatan.

Di Filipina pada Rabu, Presiden AS Barack Obama berkata China mesti menghentikan penebusgunaan tanah.

Penasihat dasar Asia kepada Obama berkata beliau merancang mengemukakan perbalahan Laut China Selatan pada satu lagi mesyuarat sidang kemuncak pada hujung minggu ini di Malaysia.

ARTIKEL YANG SAMA