China tingkat kawalan eksport dron dan superkomputer

China tingkat kawalan eksport dron dan superkomputer

BEIJING, 2 Ogos (AFP) – China mengetatkan kawalan ke atas eksport sebahagian dron dan superkomputer dan mewajibkan firma-firma untuk mendaftar demi memastikan mereka tidak “menjejaskan keselamatan negara”, lapor media negara hari ini.

Bermula 15 Ogos ini, para pengeluar beberapa jenis dron dan superkomputer perlu memberikan maklumat teknikal menyeluruh kepada pihak berkuasa bagi mendapatkan lesen sebelum dieksport, kata agensi berita Xinhua.

Peraturan baru daripada Kementerian Perdagangan dan Pentadbiran Awam Kastam adalah terutamanya disasarkan ke atas dron yang mampu terbang lebih dari sejam dan pada ketinggian lebih 15,420 meter.

Dalam tempoh lima bulan pertama 2015, China mengeksport kira-kira 160,000 dron awam, lonjakan sebanyak 70 peratus tahun-ke-tahun, bernilai lebih AS$120 juta, lapor akhbar rasmi China Daily bulan lepas.

Gambar fail menunjukkan sepasukan anggota militia menerbangkan dron ketika satu sesi ujian di Shanghai, China. – Reuters
Gambar fail menunjukkan sepasukan anggota militia menerbangkan dron ketika satu sesi ujian di Shanghai, China. – Reuters

Pengeluar utama China, DJI mendominasi 70 pasaran global. Tetapi gergasi pengeluar ini sudah memastiukan produknya “tidak terbabit dalam kawalan eksport baru ini”, menurut kenyataan yang dilaporkan oleh media China, sambil menyatakan kerajaan terutamanya berminat dalam mengetatkan eksport teknologi ketenteraan.

Pengetatan peraturan itu dibuat dua minggu selepas satu insiden di wilayah Kashmir yang menyaksikan tentera Pakistan mendakwa menembak jatuh “dron pengintip” India, dilaporkan dibuat di China.