China unjur pertumbuhan antara 6.5 & 7 peratus

China unjur pertumbuhan antara 6.5 & 7 peratus

BEIJING, 6 Mac (Bernama) – China menyasarkan pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) di antara 6.5 dan tujuh peratus tahun ini.

Pertumbuhan KDNK tahunan dijangka lebih daripada 6.5 peratus untuk tempoh lima tahun akan datang di bawah Pelan Lima Tahun ke-13 (2016-2020). Indeks Harga Pengguna akan berada pada sekitar tiga peratus.

Perdana Menteri China, Li Keqiang berkata, unjuran pertumbuhan itu mengambil kira keperluan untuk menyelesaikan pembangunan masyarakat sederhana makmur dalam semua bidang di samping meningkatkan reformasi struktur.

“Ia juga akan membantu membimbing jangkaan pasaran dan menjadikannya stabil. Matlamat mengekalkan pertumbuhan stabil adalah untuk memastikan peluang pekerjaan dan memupuk kesejahteraan rakyat.

“Kadar pertumbuhan di antara 6.5 dan tujuh peratus akan mewujudkan tenaga kerja penuh,” katanya ketika berucap merasmikan sesi ke-4 Kongres Kebangsaan Rakyat Ke-12, di sini hari ini.

Li berkata, China akan menghadapi masalah dan cabaran lebih sukar dalam pembangunannya tahun ini sama ada di peringkat antarabangsa mahu pun tempatan.

Di peringkat antarabangsa, katanya, ekonomi global mengalami perubahan besar dan bergelut untuk pulih dan China tidak boleh memandang ringan kesan itu ke atas pembangunannya.

“Di peringkat tempatan, masalah dan risiko yang semakin meningkat sejak beberapa tahun lalu, akan menjadi lebih jelas, kesukaran yang dikaitkan dengan pelarasan struktur serta tekanan ke atas ekonomi akan semakin bertambah,” katanya.