China, Vietnam perbaiki hubungan

China, Vietnam perbaiki hubungan

BEIJING, 1 Mac (Reuters) – China dan Vietnam berkongsi satu ‘nasib umum’, beritahu Presiden China Xi Jinping kepada duta Vietnam, tatkala kedua-dua negara terus membaiki hubungan yang terjejas oleh tuntutan bersaingan mereka di Laut China Selatan.

Tuntutan kedua-dua negara komunis terhadap Laut China Selatan telah meruncing pada 2014 apabila Beijing menempatkan pelantar minyak di perairan di luar pantai Vietnam, membawa kepada rusuhan anti-China. Sejak itu mereka telah bertukar-tukar lawatan, termasuk satu kunjungan Xi ke Hanoi pada tahun lalu.

“China dan Vietnam berkongsi nasib yang sama, begitu juga dengan Parti Komunis China dan Parti Komunis Vietnam,” beritahu Xi kepada Hoang Binh Quan, duta khas ketua parti komunis Vietnam Nguyen Phu Trong, kata agensi berita Xinhua lewat semalam.

“Menjalin hubungan dua hala mematuhi kepentingan asas kedua-dua negara dan rakyat mereka,” tambah Xi.

Pada bulan lalu, ketegangan meningkat di antara kedua-dua negara berhubung kedaulatan wilayah di Laut China Selatan selepas pegawai Taiwan dan AS berkata Beijing telah menempatkan peluru berpandu permukaan bumi-ke-udara di Pulau Woody, sebahagian daripada gugusan kepulauan Paracel yang dikawal oleh China.

Vietnam menggelar tindakan China satu pencabulan serius kedaulatan di Paracels. Xi juga menggesa pengendalian perselisihan di antara kedua-dua negara agar “perkongsian kerjasama strategik mereka berkembang dalam cara yang mampan, sihat dan stabil.”

Xi menambah China rela bekerjasama dengan Vietnam untuk mengekal kekerapan lawatan dan meneruskan tradisi penting ketua parti kedua-dua negara untuk menghantar duta khas untuk berkomunikasi sesama sendiri.

ARTIKEL YANG SAMA