CHINADA nafi ‘lindungi’ lima perenang

CHINADA nafi ‘lindungi’ lima perenang

BEIJING, 25 Mac (Reuters) – Agensi Anti-Doping China tampil menafikan mereka ‘melindungi’ ujian positif doping perenang negara itu dan keputusan penyiasatan akan didedahkan mengikut peraturan, kata agensi berita Xinhua.

Penafian itu susulan laporan akhbar The Times yang mendakwa lima perenang negara itu positif doping, dengan dua daripadanya dipercayai gagal pada Oktober lalu dan selebihnya awal tahun ini.

Lima perenang China yang didapati positif dalam ujian doping tetapi cuba disorokkan kini menjadi subjek penyiasatan Agensi Anti Doping Dunia (WADA), menurut laporan akhbar British, Times hari ini.

Pendedahan itu dibuat selepas WADA mengumumkan semalam mereka sedang mencari kemungkinan skandal membabitkan perenang Russia susulan laporan Times sebelum ini.

Menurut The Times, sumber daripada komuniti renang China memberitahu akhbar itu dengan dakwaan yang lima ujian disorokkan untuk mengelakkan kekecohan sebelum kejohanan percubaan Olimpik bulan depan dan meminta akhbar itu memberikan maklumat berkenaan kepada WADA yang kini sedang menyiasatnya.

Dua daripada ujian itu dipercayai gagal pada Oktober lalu dan tiga lagi pada awal tahun ini.

The Times berkata sumber dari China itu tidak dapat dihubungi WADA kerana diawasi kerajaan di sana.

Xinhua melaporkan Timbalan Pengarah Agensi Anti-Doping China (CHINADA), Zhao Jian berkata, pihaknya tidak ‘melindungi’ perkara itu dan mereka mengikut peraturan yang ada.

Agensi itu bagaimanapun tidak mendedahkan maklumat perenang yang terbabit kerana memerlukan masa menguji sampel B dan untuk melakukan penyiasatan serta perbicaraan, susulan maklumat berkaitan yang perlu dilindungi.

CHINADA akan mendedahkan keputusan dan hukuman dalam masa 20 hari selepas persatuan yang berkaitan memutuskan hukuman masing-masing, kata Zhao.

Agensi Anti-Doping Dunia (WADA) berkata penyiasatan mengenai dakwaan laporan The Times yang mendakwa badan renang China itu cuba melindungi ujian doping yang positif menjelang kejohanan percubaan Olimpik, yang dijadual bulan depan.

WADA mengeluarkan kenyataan sejurus selepas itu dengan mengatakan “tuduhan ini adalah sangat serius dan penyiasatan lanjut akan dilakukan.”

Agensi itu kini meneliti sepenuhnya maklumat yang ada bagi menentukan tindakan sepatutnya yang boleh diambil.