Chirac dimasukkan ke hospital

Chirac dimasukkan ke hospital

PARIS, 19 Sept – Bekas presiden Perancis, Jacques Chirac, 83, dimasukkan ke hospital hari ini akibat jangkitan paru-paru, kali kedua dalam tempoh setahun pemimpin uzur itu menerima rawatan.

Chirac, yang memimpin Perancis dari 1995 hingga 2007, dimasukkan “ke hospital pagi ini di Pitie-Salpetriere (hospital di Paris) untuk menerima rawatan akibat jangkitan paru-paru,” kata menantu lelakinya, Frederic Salat-Baroux kepada AFP sambil menambah Chirac akan terus dirawat “beberapa hari lagi.”

Bekas presiden popular itu baharu pulang dari lawatan ke Maghribi bersama isterinya, Bernadette, tambah Salat-Baroux.

Khabar angin tersebar mengenai keadaannya namun sumber rapat kepada keluarga itu memaklumkan kepada AFP bahawa beliau sedar.

Gambar fail 24 November 2011 menunjukkan Jacques Chirac melambai kepada media selepas majlis Anugerah Foundation Chirac di Quai Branly Museum di Paris. – AP
Gambar fail 24 November 2011 menunjukkan Jacques Chirac melambai kepada media selepas majlis Anugerah Foundation Chirac di Quai Branly Museum di Paris. – AP

Chirac berkhidmat selama dua penggal sebagai ketua negara, kemungkinan paling diingati di peringkat antarabangsa kerana bantahannya terhadap campur tangan tentera Amerika Syarikat (AS) di Iraq pada tahun 2003.

Serangan angin ahmar ketika masih memerintah pada 2005 melemahkannya dan kini beliau jarang dilihat di khalayak ramai.

Pada Disember 2015, beliau dirawat selama dua minggu di hospital akibat keletihan. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA