CHMS ditauliah sebagai Sekolah Microsoft

CHMS ditauliah sebagai Sekolah Microsoft

Oleh Syahmi Hassan &

Imelda Groves HA

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 Jun – Sekolah Menengah Chung Hwa (CHMS) Bandar Seri Begawan (BSB), sekali lagi, telah ditauliahkan dengan status Sekolah Microsoft oleh Microsoft dalam Pendidikan (Microsoft in Education) buat tahun kedua berturut-turut.

Sementara itu, baru-baru ini, satu acara Sekolah Microsoft telah diadakan di sekolah berkenaan untuk mengongsi teknik-teknik baru yang disesuaikan dalam mentakrifkan semula pembelajaran dengan menjemput guru-guru sekolah swasta di negara ini.

Bengkel bertema ‘Trans-formasi Bilik Darjah dan Sekolah anda dengan OneNote Class dan Staff Notebook’ itu telah dikendalikan oleh dua orang pendidik dan pakar inovatif Microsoft iaitu Tan Been Tiem dan Kalpana Kishorekumar.

Kedua-dua mereka mempunyai pelbagai pengalaman dan peranan mengajar dalam pendidikan K-12, menurut kenyataan yang dikeluarkan.

Acara berkenaan juga disokong dengan kehadiran Pengurus Penglibatan Guru, Microsoft Brunei, Dayangku Ashidayu binti Pengiran Ali.

Kalpana Kishorekumar ketika mengongsikan ciri-ciri OneNote Class dan Staff Notebook.
Kalpana Kishorekumar ketika mengongsikan ciri-ciri OneNote Class dan Staff Notebook.
Sesi bergambar ramai dalam bengkel tersebut.
Sesi bergambar ramai dalam bengkel tersebut.

Dalam ucapan alu-aluannya, Pengetua CHMS, Kho Guik Lan telah menekankan mengenai kepentingan para pendidik dalam memenuhi keperluan pelajar pada masa ini.

Beliau juga berkongsi pandangan mengenai OneNote Class dan Staff Notebook, yang menurutnya, telah membantu guru-guru di CHMS BSB terus saling berhubung, untuk mengumpulkan sumber dan menyediakan kandungan interaktif.

“Microsoft sentiasa memberi inspirasi kepada kita dengan teknologi mereka, terutama dengan alat-alat seperti OneNote, Sway, Office 365 dan lain-lain,” tambah beliau.

CHMS BSB merupakan sekolah pertama di Negara Brunei Darussalam yang menggunakan OneNote Class dan Staff Notebook sejak aplikasi berkenaan dilancarkan dan ia telah diwajibkan di sekolah berkenaan sejak awal tahun ini.

Kemuncak acara berkenaan adalah, mesej video eksklusif daripada Pengurus Kanan Program Worldwide Audience Strategy, Microsoft Showcase Schools, Microsoft in Education, Seattle, Washington DC, Amerika Syarikat, Mark Sparvell.

Selain memuji kemajuan yang dicapai oleh sekolah berkenaan, Sparvell juga menyatakan bahawa CHMS BSB berkongsi visi yang sama dengan Microsoft dalam pendidikan dan cemerlang dalam membuka inovasi dengan memanfaatkan teknologi dalam pembelajaran dan mengubah sekolah melalui kerjasama di peringkat global serta dengan menerapkan kemahiran dalam kalangan pelajar.

Beliau menambah, CHMS BSB telah menjadi pemimpin baru dalam membuktikan diri mereka sebagai Sekolah Microsoft sebenar, dan menjadi contoh utama kepada kebanyakan sekolah dengan meneroka dan melaksanakan pembelajaran secara inovatif.

Bengkel berkenaan telah dijalankan dalam tiga sesi iaitu sesi pertama mengenai OneNote Class dan Staff Notebook oleh Kalpana Kishorekumar; sesi ke-dua mengenai amalan-amalan terbaik di CHMS BSB dalam menggunakan OneNote Class dan Staff Notebook yang disampaikan oleh Tan Been Tiem; dan sesi ketiga pula mengenai ‘What’s new #OneNote’ oleh Kalpana Kishorekumar.

ARTIKEL YANG SAMA