Chong Wei akan menentang Chen Long

Chong Wei akan menentang Chen Long

KUALA LUMPUR, 17 Julai – Usaha jaguh badminton Malaysia, Datuk Lee Chong Wei mengejar gelaran ketiga selepas bebas daripada penggantungan pada Mei lalu, berdepan laluan sukar apabila perlu menentang pemain nombor satu dunia, Chen Long pada suku akhir Terbuka Taiwan, esok.

Chong Wei menewaskan pemain pilihan keenam, Wang Zhengming 21-10, 21-15 dalam aksi selama 34 minit di Taipei Arena, hari ini, untuk menempah pertemuan dengan Chen Long, yang mara selepas menundukkan wakil tuan rumah, Hsu Jen Hao 21-16, 21-2.

Pemain berasal dari Bukit Mertajam itu menjuarai Terbuka Kanada dan Grand Prix Emas Terbuka Amerika Syarikat, baru-baru ini, dalam misi memperbaiki ranking dunianya selain mahu mengumpul sebanyak mungkin mata bagi kelayakan ke Sukan Olimpik Rio de Janeiro, tahun depan.

Chong Wei yang kini menduduki ranking ke-65 digantung lapan bulan oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF) berhubung kes doping sewaktu Kejohanan Dunia di Copenhagen tahun lalu.

Lee Chong Wei akan berdepan pemain nombor satu dunia Chen Long dalam suku akhir esok. - Reuters
Lee Chong Wei akan berdepan pemain nombor satu dunia Chen Long dalam suku akhir esok. – Reuters

Sementara itu, cabaran beregu wanita negara, Vivian Hoo Kah Mun/Woon Khe Wei berakhir di pusingan kedua selepas tewas kepada pasangan Korea Selatan, Go Ah Ra/Yoo Hae Won 16-21, 16-21.

Nasib sama dialami beregu lelaki negara apabila laluan Goh V Shem/Tan Wee Kiong serta Mak Hee Chun/Teo Kok Siang tersekat di pusingan kedua.

Goh/Tan kalah kepada pasangan Indonesia, Angga Pratama/Ricky Karanda Suwardi 12-21, 21-13, 15-21 manakala Mak/Teo pula mudah ditundukkan beregu pilihan kelima, Fu Haifeng/Zhang Nan dari China 12-21, 8-21. – Bernama