Chong Wei belum mahu bersara

Chong Wei belum mahu bersara

KUALA LUMPUR, 3 Dis (BH) – Jaguh perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei tidak akan bersara selepas Sukan Olimpik 2016 di Rio de Janeiro, Brazil sebaliknya akan meneruskan aksi hingga Sukan SEA 2017 yang menyaksikan Malaysia menjadi tuan rumah.

Bekas pemain nombor satu dunia itu, berkata Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar minta dia bermain pada temasya dwi tahunan berkenaan dan dia akan cuba yang terbaik untuk menunaikan permintaan itu.

“Saya perlu lihat prestasi saya, namun selepas berbincang dengan menteri, dia mahu saya bermain hingga Sukan SEA 2017. Lagipun, saya tidak pernah memenangi emas Sukan SEA lagi dan kali ini Malaysia pula menjadi tuan rumah.

“Selepas Sukan Olimpik pun saya rasa saya masih pemain terbaik negara, jadi tiada masalah. Saya tidak boleh janji tetapi saya akan cuba yang terbaik,” kata Chong Wei ketika sidang media jelajah program ‘Yonex Legend Vision’, di sini, hari ini.

Chong Wei menyatakan hasratnya bahawa beliau belum lagi mahu bersara. – Reuters
Chong Wei menyatakan hasratnya bahawa beliau belum lagi mahu bersara. – Reuters

Mengulas mengenai program ‘Yonex Legend Vision’, Chong Wei berkata ia adalah antara usaha untuk mempromosikan sukan badminton di seluruh dunia bersama tiga lagi bintang dunia, Lin Dan dari China, Taufik Hidayat (Indonesia) dan Peter Gade (Denmark).

Malaysia adalah destinasi terakhir jelajah ‘Yonex Legend Vision’ yang akan berlangsung pada 15 Disember ini selepas China, Indonesia dan Denmark.

Program berkenaan akan menyaksikan keempat-empat jaguh dunia itu berkongsi pengalaman dalam kerjaya mereka menerusi forum yang akan diadakan dan klinik badminton serta perlawanan pertunjukan.

“Kami sebenarnya sudah mempunyai perancangan untuk meluaskan lagi jelajah ‘Yonex Legend Vision’ ini, ia tidak hanya akan tertumpu kepada negara yang sudah popular dengan sukan badminton seperti dilakukan tahun ini.