Chong Wei cemas sebelum mara di Kanada

Chong Wei cemas sebelum mara di Kanada

KUALA LUMPUR, 28 Jun (UM) – Jaguh badminton Malaysia, Datuk Lee Chong Wei dipaksa bekerja keras lebih sejam sebelum mengesahkan slot suku akhir Grand Prix Terbuka Kanada di Calgary, semalam.

Chong Wei, yang kini menghuni ranking ke-99 diheret dalam perlawanan tiga set sebelum menewaskan pilihan keenam dari Hong Kong, Vincent Wong 21-17, 20-22, 21-10 untuk bertemu pilihan ke-10 dari India, B. Sai Praneeth, hari ini.

Kemenangan terbaru ini hampir pasti membantu Chong Wei memperbaiki ranking dunianya yang sebelum ini merudum ke tanga ke-180 akibat penggantungan.

Bintang berusia 33 tahun itu dilihat berada di landasan terbaik untuk merangkul kejuaraan di Kanada meskipun beraksi tanpa status pilihan.

Jurulatih perseorangan negara, Hendrawan berkata, perlawanan itu tidak seharusnya berlarutan ke tiga set, namun pada set kedua, Chong Wei memperlahankan rentak permainan bagi menikmati saingan.

Lee Chong Wei dipaksa bekerja keras sebelum mara ke suku akhir Grand Prix Terbuka Kanada, semalam. – AFP
Lee Chong Wei dipaksa bekerja keras sebelum mara ke suku akhir Grand Prix Terbuka Kanada, semalam. – AFP

“Dalam perlawanan ini saya melihat Chong Wei berdepan ujian sebenar daripada segi permainan, kecergasan serta fizikal dan dia berjaya melepasi ujian itu dengan baik.

“Pada set kedua, lawannya menjadi semakin berkeyakinan menyebabkan dia berjaya bermain mengikut kehendaknya tetapi pada set ketiga, Chong Wei menampilkan corak permainan yang lebih pantas untuk mencipta kemenangan.

“Selepas ini menentang Praneeth, saya harap Chong Wei tidak memandang rendah lawannya, jangan main terlalu perlahan untuk menikmati permainan kerana pihak lawan akan mendapat keyakinan untuk bermain cara mereka,” katanya.

Sementara itu, cabaran Malaysia turut diteruskan oleh beregu lelaki, Hoon Thien How-Lim Khim Wah yang mengejutkan pilihan ketiga dari Jerman, Michael Fuchs-Johannes Schoettler 13-21, 21-18, 21-14.

Thien How-Khim Wah yang merupakan pasangan profesional kini akan berdepan Chang Ko-Chi-Wang Tzu Wei dari Taiwan.