Chong Wei cemas

Chong Wei cemas

JAKARTA, 12 Ogos – Jaguh perseorangan Malaysia Datuk Lee Chong Wei kekal di landasan tepat untuk merangkul gelaran juara pertama pada Kejohanan Badminton Dunia, di sini, selepas mengesahkan slot ke pusingan ketiga, petang tadi.

Bekas pemain nombor satu dunia itu mara selepas menewaskan Marc Zwiebler dari Jerman 21-14, 17-21, 21-8 dalam perlawanan pusingan kedua di Stadium Tertutup Istora Senayan.

Kemenangan itu bagaimanapun sedikit menjejaskan rekod kemenangannya ke atas Zwiebler yang kali pertama berjaya memenangi satu set dalam 11 pertemuan.

“Saya sebenarnya yakin untuk menang di set kedua, jadi saya memperlahankan rentak tetapi melakukan beberapa kesilapan mudah yang memberikan mata kepada Zwiebler.

“Ia sekali gus memberikan keyakinan kepada Zwiebler dan mencatat kemenangan di set kedua. Namun, set ketiga saya mempercepatkan permainan saya dan tidak memberikan dia peluang,” kata Chong Wei sejurus tamat perlawanan.

Chong Wei mengembalikan pukulan kepada Zwiebler dalam pertandingan di Jakarta petang tadi. – Reuters
Chong Wei mengembalikan pukulan kepada Zwiebler dalam pertandingan di Jakarta petang tadi. – Reuters

Pada aksi pusingan ketiga esok, Chong Wei, 33, akan menentang bintang muda China, Wang Zhengming yang mara selepas menewaskan pemain England, Toby Penty 21-16, 19-21, 21-13.

“Kali terakhir saya jumpa Zhengming pada Terbuka Taiwan (bulan lalu) dan saya menang straight set. “Namun, ini adalah Kejohanan Dunia dan situasinya pasti berbeza, saya akan fokus terhadap persiapan saya sendiri,” katanya.

Semalam, tanda-tanya kecederaan kaki Chong Wei terjawab apabila dia hanya mengambil masa 28 minit untuk mengesahkan tempatnya di pusingan kedua Kejohanan Badminton Dunia di Istora Senayan.

Tanpa ada tanda aksinya terjejas dengan kecederaan yang dikatakan dialaminya selepas tiba di sini Khamis lepas, Chong Wei mudah menundukkan pencabar pertamanya Kestutis Navickas dari Lithuania 21-9, 21-13 bagi mengiringi juara remaja dunia 2011, Zulfadli Zulkiffli yang layak semalam.

“Saya memang yakin untuk menang tetapi tidak mahu fikir lagi untuk ke peringkat akhir kerana tumpuan saya sekarang ialah membuat yang terbaik pada setiap perlawanan dan saya berharap esok lebih baik daripada hari ini,” katanya selepas perlawanannya.

Chong Wei yang kejayaannya muncul naib juara kejohanan ini di Copenhagen, Denmark tahun lepas ditarik balik selepas gagal dalam ujian doping serta digantung lapan bulan, juga mahu membuktikan dia masih mampu bersaing di pertandingan Tahap Satu.

“Perlawanan pertama hari ini tidak begitu sukar dan saya akan memberikan persembahan terbaik setiap kali turun ke gelanggang,” katanya yang sekadar beraksi di kejohanan Tahap 3 sejak bebas daripada penggantungannya Mei lepas. – Bernama