Chong Wei harap jurulatihnya ke Rio bersamanya

Chong Wei harap jurulatihnya ke Rio bersamanya

KUALA LUMPUR, 1 Julai (Bernama) – Pemain nombor satu dunia, Lee Chong Wei, mahu dua jurulatihnya, Hendrawan dan Tey Seu Bock bersamanya di Sukan Olimpik Rio de Janeiro, Brazil pada Ogos ini.

Kad akreditasi yang terhad untuk jurulatih ke Sukan Olimpik Rio menyukarkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk memilih siapa yang bakal berada di tepi gelanggang ketika Chong Wei beraksi nanti.

Bagi Chong Wei, kehadiran dua jurulatihnya di Sukan Olimpik nanti penting terutama bagi menganalisis prestasinya serta pihak lawan.

“Seperti dimaklumkan oleh Datuk Seri Mohamad Norza dan Tan Sri Mohamed Al Amin, kita ada masalah mengenai akreditasi yang terhad untuk jurulatih,” katanya.

Mohamad Norza adalah Timbalan Presiden BAM, manakala Mohamed Al Amin adalah pemangku Presiden BAM.

Lee Chong Wei ketika beraksi dalam Kejohanan Terbuka Korea. – AP
Lee Chong Wei ketika beraksi dalam Kejohanan Terbuka Korea. – AP

“Saya pernah minta jurulatih Hendrawan dan Sue Bock untuk bersama saya di Rio nanti. Saya perlu dua jurulatih bantu saya untuk analisis perlawanan pihak lawan. Sebelum ini, juga saya dibantu oleh dua jurulatih di Olimpik,” katanya.

Chong Wei berkata demikian kepada pemberita selepas menjalani latihan di Stadium Juara, Bukit Kiara, hari ini.

Sebelum ini, nama juara dunia 2001 dan pemenang pingat perak Olimpik 2000, Hendrawan dan Seu Bock sudah disenaraikan. Bagaimanapun, keputusan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa mengehadkan empat kad akreditasi untuk jurulatih dan pegawai sokongan mengakibatkan segala perancangan awal terpaksa dirombak semula.

BAM masih boleh membawa jurulatih bersama mereka, namun kehadiran mereka hanya sekadar di tempat duduk penonton selain tidak dapat bersama pemain walaupun di perkampungan sukan.

Kontinjen Olimpik negara kali ini akan menghantar lima wakil dalam sukan badminton, termasuk Tee Jing Yi (perseorangan wanita), Goh V Shem-Tan Wee Kiong (beregu lelaki), Chan Peng Soon-Goh Liu Ying (beregu campuran) dan Vivian Hoo- Woon Khe Wei (beregu wanita).