Chong Wei kembali unggul

Chong Wei kembali unggul

KUALA LUMPUR, 5 Jun – Jaguh badminton Malaysia, Lee Chong Wei meraih kejayaan berganda di Terbuka Indonesia apabila merangkul gelaran keenam, selain merampas kembali kedudukan selaku pemain nombor satu dunia.

Pemain berusia 34 tahun itu menewaskan anggota skuad Denmark yang memenangi Piala Thomas 2016, Jan O Jorgensen 17-21, 21-19, 21-17 dalam pertemuan yang berlangsung sengit di Istora Senayan, Jakarta hari Ahad.

Berikutan kejayaan itu, Chong Wei juga menyamai rekod legenda badminton Indonesia, Taufik Hidayat dan Ardy Wiranata, yang telah memenangi kejohanan berkenaan sebanyak enam kali.

Kali pertama Chong Wei merangkul gelaran Terbuka Indonesia adalah pada 2007, diikuti tiga tahun berturut-turut dari 2009 hingga 2011, dan 2013.

Pada aksi hari ini, beberapa kesilapan dilakukan Chong Wei pada set pertama membolehkan Jorgensen, juara Terbuka Indonesia 2014, memenangi set berkenaan dengan 21-17, sebelum jaguh negara itu bangkit di set kedua dan penentuan dalam perlawanan sengit yang berlangsung selama satu jam lima minit.

Lee Chong Wei yang memenangi kejohanan badminton Terbuka Indonesia. – AP
Lee Chong Wei yang memenangi kejohanan badminton Terbuka Indonesia. – AP

Chong Wei, yang sebelum ini mengumpul 88,953 mata dalam ranking Persekutuan Badminton Dunia (BWF) dan hanya ketinggalan 3,241 mata di belakang Chen Long, akan meraih 11,000 mata atas kejayaan merangkul gelaran Terbuka Indonesia 2016, sekali gus merampas kedudukan selaku pemain nombor satu dunia daripada pemain China itu, yang menarik diri di pusingan pertama kejohanan berkenaan.

Bagaimanapun, BWF hanya akan mengeluarkan ranking rasmi tersebut pada Khamis ini.

Kali terakhir Chong Wei berada di kedudukan teratas dalam ranking dunia adalah pada Disember 2014, sebelum beliau dijatuhi lapan bulan penggantungan akibat kesalahan kes doping oleh BWF.

“Saya berharap dapat kembali lagi tahun depan kerana saya berasakan seperti di tempat sendiri dengan sokongan padu peminat di sini.

“Namun, semuanya bergantung kepada keadaan saya selepas Sukan Olimpik,” katanya selepas perlawanan itu yang disiarkan secara langsung di Astro Supersports.

Pemenang pingat perak dua kali Sukan Olimpik itu, menerima US$67,500 (kira-kira RM275,535) atas kejayaan merangkul gelaran Terbuka Indonesia itu.

Pada aksi separuh akhir semalam, Chong Wei mudah menewaskan pemain Indonesia, Ihsan Maulana Mustofa 21-9, 21-18 dalam masa 39 minit, manakala Jorgensen mengalahkan pemain China, Tian Houwei 21-14, 18-21, 21-17.

Chong Wei adalah wakil tunggal Malaysia mara ke final kejohanan berkenaan, selepas beregu wanita negara, Vivian Hoo Kah Mun/Woon Khe Wei tumpas kepada beregu pilihan ketiga, Tang Yuanting/Yu Yang dari China, 15-21, 9-21 di separuh akhir semalam. – Bernama

 

ARTIKEL YANG SAMA