Chong Wei menang mudah

Chong Wei menang mudah

JAKARTA, 11 Ogos – Jaguh perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei tidak menampakkan sebarang tanda dia mengalami kecederaan jari kaki kanan melecet.

Ia terbukti apabila mudah menewaskan pemain Lithuania, Kestutis Navickas dalam aksi pusingan pertama Kejohanan Badminton Dunia di Stadium Tertutup Istora Senaya, di sini, sebentar tadi.

Bekas pemain nombor satu dunia itu hanya memerlukan 28 minit bagi mengesahkan slot ke pusingan kedua yang menyaksikan dia akan bertemu pemenang perlawanan antara pemain Jerman, Marc Zwiebler dengan Osleni Guerrero dari Cuba.

“Saya tidak fikir mengenainya (kecederaan) kerana saya hanya mahu fokus dalam perlawanan. “Hari ini lebih baik daripada semalam dan diharapkan esok akan bertambah baik,” kata Chong Wei ketika sidang media selepas perlawanan itu.

Lee Chong Wei ketika menentang Navickas di Jakarta petang tadi. – AFP
Lee Chong Wei ketika menentang Navickas di Jakarta petang tadi. – AFP

Dua hari sebelum dia memulakan aksinya di pusingan pertama, pemain berusia 33 tahun itu dibelenggu masalah jari kaki kanan melecet yang menjejaskan persiapan sekali gus memberi sedikit tekanan kepada dirinya.

Namun, ia bukan kecederaan serius dan terbukti Chong Wei mampu mengatasi apa yang dialaminya berdasarkan prestasi menentang Navickas.

Selepas memenangi set pertama saya lebih yakin dan memperlahankan rentak permainan saya di set kedua bagi menyesuaikan diri dengan keadaan gelanggang kerana sebelum ini dapat cuba hanya sejam,” katanya.

Sementara itu, beregu campuran negara, Tan Aik Quan-Lai Pei Jing tewas kepada pasangan China, Lu Kai-Huang Yaqiong (CHN) 14-21, 7-21. – BH