Chong Wei mungkin tidak beraksi di Sukan SEA

Chong Wei mungkin tidak beraksi di Sukan SEA

KUALA LUMPUR, 20 Sept – Menteri Belia dan Sukan Malaysia, Khairy Jamaluddin akur jika pemain badminton nombor satu dunia, Lee Chong Wei memilih menyertai Kejohanan Dunia daripada Sukan SEA Kuala Lumpur tahun depan.

Malah Khairy berkata beliau telah memaklumkan kepada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) agar pemain yang menduduki ranking tertinggi dunia perlu diberi keutamaan menyertai Kejohanan Dunia.

Tarikh penganjuran Sukan SEA tahun depan telah ditetapkan pada 19 hingga 31 Ogos dan ia bertembung dengan Kejohanan Dunia di Glasgow, Scotland, yang bermula dari 21 hingga 27 Ogos.

“Chong Wei mungkin tidak akan menyertai Sukan SEA dan saya beritahunya, lebih baik beliau beraksi di Kejohanan Dunia tahun depan,” katanya kepada pemberita pada sidang media di sini hari ini.

Pemain utama negara itu masih memburu gelaran pertamanya di Kejohanan Dunia selepas tewas dalam tiga perlawanan akhir iaitu ketika di Jakarta pada 2015, Guangzhou (2013), London (2011). Chong Wei juga muncul naib juara pada edisi 2014 di Copenhagen, Denmark tetapi ia ditarik balik selepas positif dalam ujian dopingnya. Selain itu, beliau turut meraih pingat gangsa di Anaheim, Amerika Syarikat pada 2005.

Sementara itu, Sukan SEA menawarkan tujuh pingat emas iaitu dua dalam acara berpasukan dan lima bagi kategori individu.

Malaysia merupakan juara bertahan dalam dua kategori iaitu perseorangan lelaki dan beregu wanita.

Ketiadaan Chong Wei pada Sukan SEA di Singapura tahun lepas tidak menjejaskan pasukan negara meraih pingat emas dalam acara individu lelaki menerusi Chong Wei Feng manakala gandingan beregu wanita Vivian Hoo-Woon Khe Wei turut meraih pingat emas. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA