Chong Wei sasar rampas nombor satu

Chong Wei sasar rampas nombor satu

PETALING JAYA, 28 Jan – Bekas pemain nombor satu dunia, Lee Chong Wei menyasarkan untuk merampas semula posisi itu sebelum Sukan Olimpik Rio de Janeiro, Brazil bermula Ogos nanti.

Chong Wei yang kehilangan status berkenaan pada 26 Dis 2014, kini menduduki ranking kedua dunia dalam senarai terbaru yang dikeluarkan Persekutuan Badminton Dunia (BWF), pencapaian yang turut mengejutkan pemain itu sendiri.

“Bukan senang untuk saya berada pada tahap ini. Selain fizikal kena cergas, mental saya juga kena kuat. Menduduki ranking kedua dunia adalah satu kejutan. Secara keseluruhan saya memang puas hati dengan pencapaian ini.

“Saya akan cuba untuk kembali di kedudukan nombor satu dunia sebelum Sukan Olimpik. Masih ada lima atau tujuh kejohanan lagi untuk saya mengekalkan kedudukan dalam kelompok empat terbaik dunia sebelum Mei nanti,” kata Chong Wei kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu Chong Wei dilantik sebagai duta jenama XOX Mobile bagi tempoh dua tahun.

Lee Chong Wei berhasrat untuk merampas kembali gelaran pemain nombor satu dunia yang pernah dimilikinya itu. – Reuters
Lee Chong Wei berhasrat untuk merampas kembali gelaran pemain nombor satu dunia yang pernah dimilikinya itu. – Reuters

Bekas pemain nombor satu dunia itu menyifatkan tahun lalu adalah cabaran hebat sepanjang kariernya apabila rankingnya jatuh ke kedudukan 182 akibat penggantungan lapan bulan atas kesalahan doping.

Kini, beliau mahu memastikan diri dapat berada sekurang-kurangnya dalam kelompok empat pemain terbaik dunia sebelum Sukan Olimpik bagi mengelakkan diri bertemu pemain handalan di undian awal temasya itu. Chong Wei turut menegaskan pesaingnya di Sukan Olimpik nanti bukan hanya pada musuh tradisi dari China seperti Chen Long dan Lin Dan tetapi juga pemain muda seperti Kento Momota dari Jepun, Viktor Axelsen (Denmark) dan K.Srikanth (India).

Mengikut ranking dunia terkini, Chen Long masih kekal pemain nombor satu dunia, diikuti Chong Wei di tangga kedua, Jan O Jorgensen dari Denmark di tangga ketiga. Kento, Axelsen dan Srikanth masing-masing di tangga kelima, keenam dan kesembilan dunia.

Chong Wei juga yakin dua jurulatihnya Hendrawan dan Tey Seu Bock mempunyai program dan perancangan terbaik untuk memastikan prestasinya bertambah mantap menjelang Sukan Olimpik nanti.

Pemain berusia 33 tahun ini yang juga pemenang pingat perak Sukan Olimpik Beijing 2008 dan Sukan Olimpik London 2012, masih harapan terbaik negara untuk menyumbang pingat emas pertama pada temasya di Rio nanti. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA