Chong Wei tak peduli gelagat pemain China

Chong Wei tak peduli gelagat pemain China

RIO DE JANEIRO, 9 Ogos – Datuk Lee Chong Wei, yang menjadi sandaran pingat emas Olimpik negara, tidak terganggu dengan perang psikologi seteru utamanya, Lin Dan atau pemain badminton lain dari China, dalam usahanya memburu emas Sukan Olimpik Rio sebelum mengucapkan selamat tinggal kepada sukan badminton.

Jurulatih perseorangan negara, Tey Seu Bock berkata, Chong Wei tidak kisah dengan permainan minda oleh Lin Dan yang berkata dia akan turut mengambil bahagian sekiranya Chong Wei beraksi dalam Olimpik Tokyo 2020.

“Permainan minda seperti ini tidak akan menjejaskan Chong Wei disebabkan beliau sudah sekian lama menceburi sukan ini dan sangat arif dengan gaya serta taktik pemain China ketika tekanan semakin meningkat sebelum acara badminton bermula Khamis ini,” katanya selepas sesi latihan di Pavilion 4, Riocentro, di sini.

Beliau yakin Chong Wei kini bukan lagi pemain seperti dulu susulan hukuman penggantungan lapan bulan terhadapnya tahun lalu berikutan isu doping dan telah mengharung begitu banyak cabaran untuk berada pada kedudukannya sekarang.

pg23_160810_olympic logo

Datuk Lee Chong Wei (kanan) berjalan pulang selepas sesi latihan di Pavilion 4, Riocentro sempena Sukan Olimpik Rio, Isnin lalu. – Bernama
Datuk Lee Chong Wei (kanan) berjalan pulang selepas sesi latihan di Pavilion 4, Riocentro sempena Sukan Olimpik Rio, Isnin lalu. – Bernama

Selepas bertahun-tahun melatih pemain nombor satu dunia itu sejak 2002, beliau percaya Chong Wei boleh menangani tekanan dan tuntutan dalam penampilan keempatnya, sekalipun tidak memenangi pingat emas yang sangat didambakan itu.

“Semangat beliau tinggi dan tahap keyakinan juga baik. Rahsianya adalah bagaimana menangani tekanan pada hari perlawanan. Ia detik penentuan dalam memastikan siapa yang dapat membawa pulang emas,” katanya.

Chong Wei berkemungkinan menentang Lin Dan dalam saingan separuh akhir dan berkemungkinan berdepan Chen Long di peringkat akhir. Beliau kalah dua kali kepada Lin Dan dalam perlawanan akhir Olimpik Beijing 2008 dan Olimpik London 2012.

Bagaimanapun, Seu Bock berkata tiada senjata rahsia Chong Wei kali ini oleh kerana kesemua pemain yang layak ke Olimpik sudah maklum benar dengan corak permainan masing-masing disebabkan mereka sama-sama beraksi dalam banyak kejohanan selama bertahun-tahun. – Bernama