Chua – Penyusutan ringgit tidak membimbangkan

Chua – Penyusutan ringgit tidak membimbangkan

KUALA LUMPUR, 8 Sept – Penyusutan nilai ringgit tidak membimbangkan untuk mendorong kerajaan mengambil langkah kecemasan kerana mata wang lain turut berada dalam situasi sama berikutan perkembangan global yang tidak memberangsangkan, kata Timbalan Menteri Kewangan Datuk Chua Tee Yong.

“Jika hanya mata wang Malaysia merosot manakala yang lain tidak, maka ia membimbangkan,” katanya kepada pemberita pada pelancaran pejabat baharu Lembaga Penilai, Pentaksir dan Ejen Hartanah serta Piawaian Penilaian Malaysia (MVS) edisi kelima, di sini, hari ini.

Katanya mata wang ekonomi lebih besar seperti Brazil dan Turki juga lemah berbanding dolar AS.

Setakat 9.10 pagi tadi, ringgit susut kepada 4.3540/3600 berbanding dolar AS daripada 4.3275/3325 semalam.

Mengulas lanjut, Chua berkata penyusutan kebanyakan mata wang dunia disebabkan sebahagiannya oleh ketidakpastian akan kenaikan kadar faedah AS selain kejatuhan harga minyak.

“Minyak merupakan barometer ekonomi global. Apabila harga minyak rendah, biasanya pertumbuhan global juga tidak akan begitu bagus,” katanya.

Kata beliau, forum antarabangsa kerajaan dan gabenor bank pusat 20 ekonomi utama (G20) juga menggesa AS berpendirian jelas berhubung kenaikan kadar faedahnya bagi menghapuskan spekulasi. – Bernama