Chung Hwa umum bantuan yuran

Chung Hwa umum bantuan yuran

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Nov – Sekolah Menengah (SM) Chung Hwa Bandar Seri Begawan (BSB), hari ini, telah mengumumkan Program Bantuan Yuran bagi mengurangkan beban keluarga yang mempunyai ramai anak bersekolah di sana.

Di bawah program yang akan mula berkuat kuasa pada 1 Januari 2016 ini, pihak sekolah memberi diskaun kepada keluarga-keluarga yang mempunyai dua atau lebih ramai anak yang belajar di sekolah berkenaan, menurut satu kenyataan yang dikeluarkan oleh SM Chung Hwa BSB, hari ini.

Pengumuman ini dibuat berikutan kebimbangan yang diluahkan oleh orang ramai dan ibu bapa mengenai kenaikan yuran sekolah itu baru-baru ini, terutamanya bagi mereka yang mempunyai lebih daripada seorang anak bersekolah di sana.

Menurut kenyataan itu, mendengar kebimbangan berkenaan, Lembaga Pengarah sekolah tersebut telah membentuk jawatankuasa kecil khas bagi Dana Bantuan Yuran telah ditubuhkan Oktober lalu, yang dianggotai individu-individu, para perwakilan media dan ibu bapa.

Tugas mereka adalah untuk cuba membantu ibu bapa mengatasi kekangan kewangan dan mengemukakan cadangan-cadangan kepada lembaga berkenaan.

Menerusi program berkenaan, bermula 2016 hingga 2018, yuran untuk anak pertama dalam kelas tadika ialah $230 sebulan dan $210 sebulan bagi anak kedua dan seterusnya.

Bagi kelas rendah, yuran untuk anak pertama ialah $270 sebulan dan $220 sebulan bagi anak kedua dan seterusnya, manakala itu, yuran sebanyak $290 sebulan dikenakan bagi anak pertama dalam kelas menengah dan $240 sebulan bagi anak kedua dan seterusnya.

SM Chung Hwa BSB turut memaklumkan bahawa, bermula esok (2 November), ibu bapa diminta mengisi borang kaji selidik untuk memastikan semua pelajar berhak menerima diskaun berkenaan.

ARTIKEL YANG SAMA