CIBFM adakan fasa ke-2 program FMPP

CIBFM adakan fasa ke-2 program FMPP

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Mac – Pusat Perbankan, Kewangan dan Pengurusan Islam (CIBFM) telah mengadakan Fasa 2 bagi Program Profesional Fiqh Muamalat (FMPP) iaitu Program Mentor, di Dewan Teater, Bangunan ILIA, Kampus Universiti Brunei Darussalam, baru-baru ini.

FMPP adalah program pembelajaran yang pertama sepertinya di dunia ini, dan adalah merupakan sebuah signature programme CIBFM. Program separuh masa yang disokong oleh Autoriti Monetari Brunei Darussalam (AMBD) dan juga Lembaga Penasihat Kewangan Syariah Negara Brunei Darussalam (SFSB) ini, dibahagikan kepada tiga Fasa iaitu Fasa I: Pembelajaran Teori, Fasa, II:Program Mentor dan Fasa, III:Pendedahan Antarabangsa. Program ini telah berjaya menghasilkan 17 graduan setakat ini.

Melalui Program Mentor ini, para penuntut FMPP telah ditugaskan untuk membentangkan kertas kerja mengenai dengan penggunaan Kewangan Islam sebagai penyelesaian kepada beberapa isu-isu dan cabaran-cabaran yang dihadapi oleh Negara Brunei Darussalam dan antarabangsa pada masa ini.

Dalam pembentangan kertas-kertas kerja ini, para penuntut menerima bimbingan dan bantuan daripada mentor-mentor yang terdiri daripada pakar-pakar Kewangan Islam tempatan.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan diikuti dengan kata alu-aluan oleh Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif CIBFM, Dayang Suriati binti Haji Mohamad Taib.

Turut hadir sebagai Panel Pemerhati dalam membuat penilaian ke atas kertas-kertas kerja tersebut dan seterusnya memberi maklum balas serta komen kepada para penuntut ialah Hakim Mahkamah Rayuan Syariah, Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Paduka Setia Raja Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Suhaili bin Haji Mohiddin; Hakim Mahkamah Tinggi Syariah, Yang Arif Dato Seri Setia Ustaz Haji Metussin bin Haji Baki; dan Timbalan Mufti Kerajaan, Dr. Haji Japar bin Haji Mat Dain @ Maidin.

Dalam maklum balas yang diberikan, Panel Pemerhati juga turut merakamkan tahniah kepada pihak CIBFM atas usaha mereka dalam menghasilkan lebih ramai lagi pakar Kewangan Islam dan seterusnya menyuarakan harapan mereka agar CIBFM terus menjalankan majlis-majlis serta program-program seumpamanya di masa hadapan. Majlis ini juga turut dihadiri oleh pegawai-pegawai kanan AMBD, ahli-ahli akademik dan wakil-wakil dari institusi-institusi kewangan.

CIBFM adalah satu entiti latihan di bawah AMBD. Sebagai sebuah Pusat Kecemerlangan, matlamat CIBFM adalah untuk menjadi platform pembangunan bakat insan bagi industri kewangan di Negara Brunei Darussalam dengan menyediakan latihan profesional dalam bidang-bidang utama seperti perbankan, kewangan, insurans/takaful, pasaran modal dan kepimpinan, pengurusan serta kajian profesional.

ARTIKEL YANG SAMA