CIBFM, KUIS meterai MoU

CIBFM, KUIS meterai MoU

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 Ogos – Pusat Perbankan Islam, Kewangan dan Pengurusan (CIBFM) dan Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) hari ini menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bagi mengukuhkan kerjasama dan hubungan antara kedua-dua institusi dalam bidang kewangan Islam dengan menggalakkan pelbagai aktiviti kerjasama seperti persidangan khusus, simposium dan seminar, latihan dan kursus profesional, dan pertukaran pengetahuan, kepakaran, kertas penyelidikan dan kajian.

Majlis penandatanganan tersebut berlangsung di Bilik Lembaga, Tingkat 2, Bangunan ILIA, Kampus UBD, Jalan Tungku-Link, di sini. Menandatangani bagi pihak CIBFM ialah Ketua Pegawai Eksekutifnya, Awang Makhtar bin Abdullah manakala KUIS diwakili oleh Rektornya, Profesor Dato’ Dr. Abdul Halim bin Tamuri.

Sebelum majlis penandatanganan MoU tersebut, CIBFM telah mengadakan sesi Perbincangan Meja Bulat mengenai Perbankan Islam, Kewangan dan Ekonomi yang telah dipengerusikan oleh Pengarah Pusat Penyelidikan Antarabangsa Ekonomi dan Kewangan Islam (IRCIEF) KUIS, Dr. Latifa Bibi binti Musafar Hameed.

Turut hadir ialah pegawai-pegawai Autoriti Monetari Brunei Darussalam (AMBD), ahli-ahli akademik dan pakar-pakar industri kewangan Islam.

CIBFM adalah satu entiti latihan di bawah AMBD. Sebagai sebuah Pusat Kecemerlangan, matlamat CIBFM adalah untuk menjadi platform pembangunan bakat insan bagi industri kewangan di Negara Brunei Darussalam dengan menyediakan latihan profesional dalam bidang-bidang utama seperti perbankan, kewangan, insurans/takaful, pasaran modal dan kepimpinan, pengurusan serta kajian profesional.

KUIS merupakan sebuah institusi pengajian tinggi yang dimiliki sepenuhnya oleh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), ditubuhkan dengan tujuan untuk meningkatkan dan mengukuhkan keupayaan pengajaran dan penyelidikannya.

ARTIKEL YANG SAMA