Cibulkova mara, Kerber belum turun gelanggang

DOHA, 16 Feb – Tiga pemain mara ke suku akhir dalam Kejohanan Terbuka Qatar semalam ketika satu lagi hari kejohanan terjejas dengan hujan lebat yang menyaksikan pilihan utama Angelique Kerber masih menantikan bagi perlawanan pertamanya.

Pilihan ketiga Dominika Cibulkova (gambar), Zhang Shuai dan Monica Puig semuanya berjaya untuk melengkapkan pertandingan mereka, hakikatnya, Zhang dan Puig telah beraksi dalam dua perlawanan semalam, untuk memastikan laluan mereka ke lapan pemain terakhir.

Tetapi perlawanan selebihnya berdepan dengan kekecewaan ketika Qatar terus dilanda dengan beberapa keadaan cuaca buruk sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Hujan berterusan bermakna Kerber menghadapi prospek beraksi dua perlawanan hari ini jika dia memenangi pertandingan pusingan keduanya. Bekas pemain nombor satu dunia itu telah menerima ‘bye’ bagi pusingan pertama.

Dia akan bermula menentang Daria Kasatkina dari Rusia pada 0800 GMT.

Pemenang dalam perlawanan itu akan menghadapi pemenang pingat emas Olimpik, Puig, jika keadaan cuaca mengizinkan.

Juga beraksi hari ini adalah sahabat karib Agnieszka Radwanska, pilihan keempat, dan Caroline Wozniacki dari Denmark dalam pertemuan 16 pemain terakhir.

Keduanya berada di tengah gelanggang yang hanya menyaksikan hujan turun sekali lagi tanpa satu pun perlawanan diadakan.

Daripada sejumlah kecil perlawanan yang diselesaikan, pertemuan Cibulkova menentang Anastasi Pavlyuchenkova dari Rusia menjadi tumpuan.

Pemain dari Slovakia itu mencatatkan kemenangan dalam tiga set, 7-5, 2-6, 6-2 dan mengakui selepas itu ia adalah pertandingan yang begitu sukar.

“Saya tahu ia akan menjadi sukar, terutamanya sekarang,” kata Cibulkova.

“Dia berada dalam rentak yang menarik. Dia beraksi dalam suku akhir di Terbuka Australia. – AFP