Ciclista Sports penganjur baru LTdL 2016

Ciclista Sports penganjur baru LTdL 2016

KUALA LUMPUR, 12 Nov (Bernama) – Syarikat pengurusan acara berbasikal, Ciclista Sports Sdn Bhd dipilih sebagai penganjur perlumbaan berbasikal berprestij, Le Tour de Langkawi (LTdL) 2016, dengan kontrak selama dua tahun.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin ketika mengumumkan perkara itu berkata syarikat berkenaan yang diketuai Emir Abdul Jalal memperoleh geran penganjuran daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sebanyak RM11 juta.

Emir yang juga Ketua Pegawai Eksekutif LTdL edisi ke-21 tahun depan, bukan nama asing dalam perlumbaan tersebut kerana mempunyai pengalaman sebagai penganjur dari 2010 hingga 2014.

“Sebanyak empat syarikat memohon, namun satu menarik diri dan Ciclista dipilih kerana mempunyai kekuatan daripada aspek pengurusan acara serta berpengalaman luas dalam perlumbaan tersebut.

“Syarikat ini diterajui pihak berpengalaman dan mempunyai hubungan baik dengan UCI menerusi presiden komisar UCI,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan ‘Bendera Cabaran Negara’ oleh atlet kebangsaan kepada beliau, di Gimnasium II, Majlis Sukan Negara (MSN) di sini hari ini.

Sebanyak 772 atlet daripada 38 jenis sukan, dipilih menjalani latihan fasa pertama ‘Program Kita Juara’ bersempena Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur.

Khairy berkata pemilihan penganjur baharu itu diputuskan oleh Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Jamil Salleh.

Emir ketika dihubungi Bernama, berkata beliau sangat berterima kasih kepada KBS yang memberi kepercayaan kepada pihaknya mengembalikan kegemilangan perlumbaan berprestij itu dalam tempoh dua tahun akan datang.

“Selepas KBS membuka semula tawaran penganjuran LTdL, saya cuba menghantar kertas cadangan dan permohonan menerusi saluran betul,” kata Emir, yang dilantik secara kontrak selaku Ketua Pegawai Operasi (COO) LTdL dengan MSN bagi penganjuran pada 2010-2014.

Emir menganggarkan perbelanjaan penganjuran perlumbaan tersebut melibatkan jumlah maksimum RM16 juta dan bagi menjaga reputasi perlumbaan berprestij itu, menjadi tanggungjawab pihak syarikatnya mencari dana tambahan.

Mengenai penyertaan pasukan bagi edisi akan datang itu, Emir berkata pihaknya menerima respons positif daripada pasukan-pasukan Pro Tour dan Benua.

“Setakat ini kami sedang berbincang dengan empat pasukan Pro Tour bagi perlumbaan tahun depan,” katanya.