CIDB curi tumpuan dunia di Boston

CIDB curi tumpuan dunia di Boston

KUALA LUMPUR, 6 Nov (Agensi) – Usaha Malaysia untuk memacu sektor pembinaan tempatan ke arah industri moden, berproduktiviti tinggi dan mampan menerima tumpuan dunia apabila Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) Malaysia berkongsi pengalaman menerusi Program Transformasi Industri Pembinaan (CITP) di Simposium Program Zofnass di Boston, Amerika Syarikat, baru-baru ini.

Ketua Eksekutif CIDB, Datuk Seri Dr Judin Abdul Karim berkata, industri pembinaan adalah salah satu pemacu ekonomi Malaysia dan dari 2011 hingga 2014, Malaysia meluluskan 29,435 projek pembinaan bernilai RM470 bilion.

“Malah, di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) pembinaan mampan dikenal pasti sebagai pencetus perubahan untuk transformasi industri pembinaan. Matlamat utama kita adalah memastikan Malaysia bergerak ke arah negara maju.

Simposium program Zofnass di Boston, Amerika Syarikat jadi medan kongsi pengalaman sektor pembinaan. – Agensi
Simposium program Zofnass di Boston, Amerika Syarikat jadi medan kongsi pengalaman sektor pembinaan. – Agensi

“Malah, industri ini harus berkembang dengan memenuhi standard global dalam perlaksanaan amalan moden, efisien dan mampan,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Simposium berprestij berlangsung di Universiti Harvard selama dua hari itu dihadiri lebih 100 pegawai sektor awam, profesional industri dan ahli akademik dengan membincangkan isu utama global seperti daya tahan bandar, terutama dalam perancangan infrastruktur mampan di peringkat bandar dan wilayah. Menurutnya, kerajaan tempatan komited untuk mentransformasikan ekonomi negara seperti yang ditunjukkan dalam Program Transformasi Ekonomi (ETP) dan Rancangan Malaysia ke-11.

Malah, CITP yang dilancarkan sebagai sebahagian rancangan menggariskan matlamat untuk memacu pembinaan mampan di Malaysia supaya menjadi model untuk negara membangun lain.