Cilic, Del Potro tumpuan Piala Davis

Cilic, Del Potro tumpuan Piala Davis

ZAGREB, 25 Nov – Dua bekas juara Terbuka Amerika Syarikat, Marin Cilic dari Croatia dan pemain Argentina, Juan Martin Del Potro dijangka menjadi tumpuan apabila kedua-dua negara membuat perhitungan dalam aksi final Piala Davis di Arena Zagreb yang bermula hari ini hingga Ahad.

Pemain nombor enam dunia, Cilic yang bergelar juara di Flushing Meadows pada 2014 akan berdepan Federico Delbonis dalam aksi pertama acara perseorangan, malam ini diikuti perhitungan antara juara 2009, Del Potro dan Ivo Karlovic yang terkenal dengan servis kencang.

Undian yang berlangsung di dewan konsert Vatroslav Lisinski turut menyaksikan gandingan Croatia, Franko Skugor dan Ivan Dodig akan menentang Leonardo Mayer dan Guido Pella untuk acara beregu esok.

Cilic akan menentang Del Potro dan Karlovic dijadual berdepan Delbonis dalam satu lagi aksi perseorangan, Ahad ini.

Croatia yang juga juara 2005 kini dalam usaha meraih gelaran kedua manakala Argentina memburu gelaran sulung.

Argentina menjadi satu-satunya negara yang gagal menjulang kejuaraan biarpun empat kali beraksi di pentas final.

“Saya fikir Croatia adalah pilihan untuk memenangi perlawanan. Mereka beraksi di tempat sendiri dan mempunyai pasukan yang kuat tetapi kami teruja untuk beraksi di pentas final.

“Saya perlu lebih fokus menentang Karlovic kerana kelebihan pukulan servis dimilikinya. Ia boleh mengundang bahaya kepada saya,” kata Del Potro.

Sementara itu, Cilic yang membantu Croatia menewaskan Perancis 3-2 dalam aksi separuh akhir memuji Del Potro dan berkata Argentina mendapat sokongan dengan kehadiran legenda bola sepak negara itu, Diego Maradona.

“Saya dan Del Potro sudah lama mengenali antara satu sama lain. Dia pemain yang hebat dan sangat baik. Kami sentiasa bersama ketika jelajah ATP dan dia mempunyai watak yang positif untuk sukan tenis dunia,” kata Cilic. – AFP