Cilic kejutkan Murray

Cilic kejutkan Murray

CINCINNATI, 22 Ogos – Bekas juara Terbuka Amerika Syarikat (AS), Marin Cilic menamatkan rentak kemenangan 22 perlawanan Andy Murray, awal pagi hari ini, untuk menyambar gelaran pertama ATP Masters 1000 selepas mencatat kemenangan 6-4, 7-5 dalam aksi final Terbuka Cincinnati.

Kemenangan dalam tempoh 94 minit itu menandakan kejayaan pertama buat jaguh Croatia berusia 27 tahun itu tatkala dia menjulang gelaran Masters pertama pada percubaan ke-71.

“Minggu ini akan dikenang, ia benar-benar sangat istimewa,” kata Cilic, yang melakukan tujuh servis ace dan mematahkan tiga pukulan sama daripada Murray.

“Saya sudah tidak sabar untuk beraksi di Terbuka AS dalam beberapa minggu lagi. Saya berharap dapat meneruskan rentak cemerlang ini.”

Marin Cilic menerima trofi kemenangan dalam aksi final Terbuka Cincinnati menentang Andy Murray. - AFP
Marin Cilic menerima trofi kemenangan dalam aksi final Terbuka Cincinnati menentang Andy Murray. – AFP

Cilic merakam pencapaian itu dengan kekurangan rehat, ketika dia terpaksa meninggalkan gelanggang lewat malam semalam gara-gara pertemuan separuh akhir yang menyaksikan dia mencatat kemenangan ke atas Grigor Dimitrov terpaksa ditangguhkan gara-gara hujan lebat.

Sementara itu, pemenang pingat perak Olimpik, Angelique Kerber tewas kepada pemain Republik Czech, Karolina Pliskova 6-3, 6-1 dalam acara final wanita saingan WTA-ATP itu.

Ia adalah kekalahan kedua jaguh Jerman itu di pentas final berturut-turut selepas turut tewas dalam penentuan pingat emas di pentas Olimpik di RIo, Brazil.

Kekalahan juga menyaksikan peluang Kerber untuk merampas kedudukan ranking nombor satu dunia dari bintang AS, Serena Williams tidak kesampaian. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA