Cilik Brunei juarai pertandingan mukun di Miri

Cilik Brunei juarai pertandingan mukun di Miri

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 7 Mac – Kumpulan Mukun Cilik Brunei Darussalam A yang dianggotai pasangan adik-beradik Awang Abdul Qayum dan Awang Abdul Qawi bin Irwan Rino Nordin telah mengangkat nama Negara Brunei Darussalam setelah dinobatkan sebagai pemenang Juara Kategori Remaja berusia 21 tahun ke bawah pada Peringkat Akhir Pertandingan Bermukun yang diadakan di Dewan Gelanggang Bola Keranjang Pekan Bekenu, Miri, baru-baru ini.

Pasangan adik-beradik itu membawa pulang hadiah kemenangan berupa wang tunai RM 600 beserta piala, manakala itu, seorang lagi adik mereka, Awang Abdul Qudus yang berpasangan dengan Dayang Dahlia daripada Kumpulan Mukun Dewa Dewi Brunei Darussalam B pula telah menyandang gelaran naib juara dengan membawa pulang RM400 berserta piala iringan, tempat ketiga telah dimenangi Kumpulan Merpati Putih dari Bekenu yang menerima RM200 berserta piala.

Lebih 60 penyertaan diterima bagi pertandingan anjuran RTM Miri bagi Musim Ketiga Tahun 2016 itu yang dibahagikan kepada tiga kategori iaitu Kategori Tertutup, Kategori Terbuka dan Kategori Remaja berusia 21 tahun ke bawah.

Pertandingan telah diadakan selama dua malam berturut-turut bermula 4 Mac bagi peringkat saringan dan daripada jumlah tersebut hanya lima buah kumpulan sahaja yang berjaya mara ke peringkat akhir yang berlangsung pada 5 Mac 2016.

Pemukun yang sudah tidak asing lagi dalam kalangan peminat-peminatnya di negara ini, Awang Irwan Rino Nordin, hari ini, memberitahu Media Permata bahawa gelanggang pertandingan bermukun menjadi lebih meriah apabila pihak penganjur buat pertama kalinya membukakan penyertaan kategori remaja berusia 21 tahun ke bawah.

Kumpulan Mukun Cilik Brunei Darussalam A menjuarai Pertandingan Bermukun Musim Ketiga di Bekenu Miri, manakala Naib Johan disandang oleh Kumpulan Mukun Dewa Dewi Brunei Darussalam B.
Kumpulan Mukun Cilik Brunei Darussalam A menjuarai Pertandingan Bermukun Musim Ketiga di Bekenu Miri, manakala Naib Johan disandang oleh Kumpulan Mukun Dewa Dewi Brunei Darussalam B.

Ini sekali gus telah membukakan peluang kepada tiga orang anak lelakinya yang mempunyai bakat dalam persembahan bermukun melalui didikannya selain anak-anaknya yang juga menunjukkan minat mereka dalam seni budaya tersebut.

Bagaimanapun, ujarnya, pada pertandingan kali ini beliau akur dengan keputusan para juri yang menempatkan tempat ketiga bagi Kumpulan Bermukun Selindang Sutera Brunei yang diwakilinya dengan berpasangan bersama Wan Zuraimi Julaihi bagi Kategori Terbuka.

Menurutnya, penyertaan kali ini memang hebat, dengan penglibatan peserta-peserta dari seluruh negeri Sarawak seperti Miri, Bekenu, Batu Niah, Sibu, Bintulu, Mukah, Limbang dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Menjuarai Kategori terbuka itu ialah Kumpulan Putera Mukah dan naib juara disandang oleh Kumpulan Kumala dari Wilayah Persekutuan Labuan, diikuti dengan Kumpulan Bermukun Selindang Sutera Brunei di tempat ketiga, masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai sejumlah RM1,000 bagi juara, RM800 bagi naib johan dan RM600 bagi pemenang tempat ketiga.

“Oleh kerana kesibukan kami, maka persiapan untuk pertandingan kali ini agak terjejas, dan kami hanya menghadapi pihak lawan dengan berbekalkan pengalaman, tetapi saya rasa bersyukur dan terharu atas kejayaan anak-anak saya yang tampil juara dan naib juara dalam pertandingan ini, sekali gus telah mengangkat nama negara dari segi budaya bermukun bersaing dengan peserta lainnya yang berusia belasan tahun.

“Kumpulan kami akan meneruskan lagi perlawanan bermukun di Kuching Sarawak dalam masa dua minggu akan datang di Kuching,” katanya.

Hampir 5,000 orang penonton membanjiri gelangang pertandingan bermukun musim ketiga di Bekenu Miri dan turut hadir, seterusnya menyampaikan hadiah-hadiah kepada pemenang ialah Menteri Muda Pembangunan Keluarga dan Pembelajaran Awal Kanak-kanak, Rosey binti Haji Yunus, Ahli Parliman Sibuti Kawasan 218.

Turut hadir menyaksikan pertandingan ialah Awang Katong bin Apong yang mengetuai rombongan bermukun Negara Brunei Darussalam.

ARTIKEL YANG SAMA