CIMB dilantik pengurus utama bersama bon Indonesia

CIMB dilantik pengurus utama bersama bon Indonesia

KUALA LUMPUR, 16 Dis (Bernama) – CIMB Investment Bank dilantik sebagai pengurus utama bersama dan penaja jamin bersama untuk nota kadar tetap tidak bercagar senior bernilai AS$2.25 bilion bertempoh 10 tahun dan AS$1.25 bilion bertempoh 30 tahun yang diterbitkan oleh Indonesia.

Dalam satu kenyataan hari ini, CIMB berkata tranche 10 tahun berharga 99.60 peratus dengan kupon dan pulangan pada 4.75 dan 4.80 peratus manakala tranche 30 tahun pada harga 99.30 peratus dengan kupon dan pulangan pada 5.95 dan 6.00 peratus.

CIMB berkata harga kedua-dua tranche yang masing-masing bertarikh matang pada 8 Jan 2026 serta 8 Jan 2046 itu adalah di bawah panduan harga awal, masing-masing pada 5.0 peratus dan 6.13 peratus.

Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Group, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz berkata transaksi kolektif itu adalah terbitan terbesar oleh sebuah negara pasaran pesat berkembang bagi separuh kedua tahun ini.

“Pelantikan ini adalah satu pengiktirafan terhadap pengalaman kami dalam pasaran modal hutang ASEAN dan ia mencerminkan keupayaan CIMB dalam mengenal pasti nilai sekalipun dalam persekitaran operasi yang paling sukar,” katanya.

Tranche 10 tahun diperuntukkan untuk 164 akaun manakala tranche 30 tahun kepada 151 akaun. Pesanan dalam tangan dipacu oleh permintaan pelbagai merentasi Amerika Syarikat (AS), Eropah dan Asia.

Sebanyak 62 peratus daripada tranche 10 tahun diperuntukkan kepada AS, 14 peratus kepada Eropah, 10 peratus kepada Asia (tidak termasuk Indonesia) dan baki 14 peratus kepada Indonesia.

CIMB berkata Indonesia berupaya menarik minat daripada kumpulan pelabur berkualiti yang luas, dengan nilai pesanan keseluruhan US$8.1 bilion, iaitu lebihan langganan sebanyak 2.3 kali.

“Ini adalah bukti keyakinan pelabur dan sentimen positif berterusan terhadap prospek Indonesia yang disokong oleh unjuran penarafan positif oleh S&P dan mengukuhkan penarafan stabil oleh Moody’s dan Fitch.

“Permintaan yang kukuh terhadap terbitan membolehkan negara itu mengumpul dana yang besar untuk keperluan Bajet 2016 dan melanjutkan lagi portfolio kematangan hutangnya menjelang peristiwa penting pasaran yang bertumpu pada kenaikan kadar faedah AS,” kata bank berkenaan.

ARTIKEL YANG SAMA